Kami percaya ramai yang sedang penat dengan keadaan politik yang berlaku pada hari ini. Kebanyakan ahli politik sepertinya tidak terlalu kisah dengan apa yang berlaku dengan rakyat.
Ramai yang lebih sibuk untuk memikirkan cara bagaimana untuk terus berkuasa, berbanding menghabiskan masa untuk memikirkan membantu rakyat.
Keadaan ini amat menyedihkan, sebabnya kita mungkin berhadapan dengan situasi orang ramai tak akan turun mengundi menjelang pilihan raya terdekat.
Apa yang perlu dilakukan oleh parti-parti politik atau mereka yang ingin bertanding adalah melakukan sesuatu untuk menjadikan para pengundi teruja dengan apa yang berlaku untuk negara. Dalam bahasa mudahnya, macam mana nak bagi tengok negara ni ada masa hadapan.
Mengundi adalah elemen penting dalam pilihan raya, terutamanya dalam konteks Malaysia. Sekiranya kita tidak turun mengundi, berkemungkinan kita akan memiliki kerajaan yang tidak mempunyai mandat – bermaksud tidak dipilih oleh majoriti rakyat.
Masalahnya dengan politik ni, sama ada kita suka atau tidak; ahli-ahli politik tetap akan mempengaruhi hidup kita. Contohnya, harga-harga barang yang tengah naik sekarang ni berlaku kerana kelemahan politikus kita dalam membina dasar dan mengurus negara.
Salah satu hal yang kami rasa boleh rakyat teruja dengan pilihan raya akan datang adalah keterlibatan pengundi dan wakil orang muda dalam politik. Kita perlu akui wakil-wakil orang muda dalam politik tidak semestinya yang terbaik; namun sekurang-kurang kita memiliki sesuatu yang baharu dalam politik Malaysia.
Ramai yang tak tahu kebanyakan negara di Eropah telah menurunkan had umur minima pengundi kepada 18 tahun sejak dari era 1960an. Ia merupakan satu langkah ke hadapan untuk memastikan jumlah yang menentukan pemimpin negara betul-betul diwakili oleh semua peringkat umur.
Ramai yang percaya pelaksanaan Undi18 telah memberi kesegaran dari segi kepimpinan parti politik dan dasar kerajaan dalam jangka masa yang panjang kerana belia 18 tahun – matang dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Pelaksanaan Undi18 telah bermula pada Februari tahun 2022, sekali dengan pendaftaran pemilihan secara automatik bagi pengundi yang berusia 18 tahun.
Antara hujah untuk membenarkan Undi18 adalah hak mengundi wajar diberikan kepada individu yang telah mencapai umur 18 tahun kerana mereka mampu menyumbang kepada sosioekonomi masyarakat, memikul tanggungjawab kerakyatan, tertakluk di bawah kontrak perjanjian, dibolehkan membayar cukai, diberikan hak untuk berkahwin, bekerja, dan bertanggungjawab penuh kepada diri sendiri.
Situasi ini menjelaskan bahawa hak mengundi wajib diberikan kepada orang yang berfungsi sebagai ‘ahli masyarakat’, dan bukannya kerana pengetahuan dan kematangannya dalam bidang politik.
Sebelum ini mereka yang berumur 21 tahun dan ke atas sahaja layak mengundi dan menjadi calon dalam pilihan raya. Situasi ini telah membawa krisis kekurangan pemimpin pelapis dan ketandusan pemimpin hebat dalam negara.
Pada masa yang sama, Undi18 dilihat dapat memberi peluang kepada golongan muda untuk terlibat aktif dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara. Mungkin selepas ini kita boleh melihat lebih ramai golongan muda menjadi pemimpin, baik di peringkat persekutuan mahu pun negeri.
Penurunan umur minimum mengundi dan bertanding sebagai ahli dewan mampu memberi lebih masa kepada golongan muda mendekati dan mendalami arena politik dan kepimpinan negara. Apabila ada wakil golongan muda dalam arena politik sudah tentulah suara generasi muda ini akan lebih didengari.
Idea – idea generasi muda yang terbaru dan kontemporari boleh dikongsikan dengan kepimpinan negara dalam mencorakkan dasar – dasar negara yang lebih berkesan. Gabungan intelek muda dan pengalaman golongan tua ini sudah pastilah mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih baik. Apa-apa pun, tanpa keterlibatan secara langsung rakyat – pergi mengundi – negara kita tidak akan berubah.