Keperluan Sabah untuk memiliki pemimpin-pemimpin muda berada pada tahap yang kritikal. Kehadiran pemimpin muda bukanlah bermaksud pemimpin-pemimpin yang sudah berumur tidak lagi layak untuk berada pada tampuk kepimpinan.
Apa yang penting adalah kerjasama dalam kalangan golongan tua dan muda untuk melahirkan formula yang tepat dalam pentadbiran kerajaan. Masalah utama yang berlaku pada hari ini adalah – golongan muda sering dilihat sebagai ‘pelapis’, bukanlah seseorang yang layak menjadi pemimpin semasa.
Kami fikir ia adalah tanggapan yang salah – kerana usia tidaklah memberikan apa-apa jaminan seseorang itu layak atau tidak memimpin. Kali ini kami bawakan beberapa berita tentang parti-parti politik di Sabah yang nampaknya sudah mula melihat kepentingan orang muda dalam parti politik mereka.
Baru-baru ini, timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim mengatakan pemimpin muda perlu mula belajar, asah kepimpinan masing-masing supaya mampu menjadi pelapis kepimpinan di Tamparuli. Macam kami katalah; pemimpin muda hanya dilihat sebagai pelapis sahaja, bukan pemimpin semasa.
Katanya pemimpin sayap Pemuda dan Wanita perlu menonjolkan diri bagi meneruskan legasi kepimpinan yang mantap di kawasan Tamparuli.
Katanya lagi, untuk menjadi pemimpin yang hebat, seseorang perlu bekerja keras dan banyak berlatih, pandai memerhati, mendengar dan bekerja bersama dengan pemimpin-pemimpin sedia ada.
“Dalam era politik masa kini, trend rakyat di negara ini kelihatan cenderung mahu melihat barisan pentadbiran didominasi oleh golongan muda yang akan bekerja memajukan negara. Oleh itu, penampilan muka baharu dalam kalangan orang muda dan profesional akan menjadi satu daripada kriteria penting bagi pengundi untuk menzahirkan sokongan mereka.”
Bagaimana masa hadapan parti MUDA di Sabah?
Apabila bercakap tentang kepentingan golongan muda dalam politik ini; sukar untuk kita terlepas pandang kehadiran ‘parti Muda’ yang dikatakan wujud untuk memberi ruang kepada golongan Muda memimpin. Cuma, penganalisis politik berpendapat kewujudan parti Muda di Sabah tidak akan memberi impak yang terlalu besar kepada landskap politik di Sabah.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, sekiranya Muda membuat keputusan untuk bertanding di Sabah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, mereka akan bergantung atas kerjasama dengan Warisan, itupun jika ia berlaku.
Dr Awang Azman |
“Jika inilah yang berlaku (Muda bertanding di Sabah), ia hanya bergantung kepada ihsan Warisan untuk ‘survive’ dan diterima rakyat sabah. Pada masa sama, Warisan juga berdepan dengan krisis sokongan kerana terdapat beberapa wakil rakyat Sabah yang lompat parti.
Jadi impak Muda di Sabah tidaklah terlalu besar dan hanya bergantung kepada ihsan parti Warisan yang turut cuba memulihkan sokongan dan meraih sokongan pengundi Sabah.”
Seorang lagi penganalisis, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, antara cabaran yang bakal dihadapi Muda adalah penerimaan dan keyakinan rakyat negeri itu sama ada mereka boleh melaksanakan perubahan merangkumi aspek politik, sosial, pembangunan dan ekonomi.
Bagaimanapun katanya, Muda yang dipimpin Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mungkin boleh menarik golongan pengundi muda yang pragmatik kerana parti itu cuba membawa ideologi politik “baharu” dan menjangkaui politik lama.
Namun ia masih terlalu awal untuk dinilai mengenai sejauh mana dan sebesar manakah golongan ini akan beralih sokongan kepada Muda. Pelbagai faktor perlu diambil kira, iaitu sentimen rakyat luar bandar, politik penaungan yang masih tebal serta identiti politik yang semakin dominan.
Kita perlu hapuskan STIGMA orang muda hanya pelapis
Sebenarnya sudah banyak parti politik yang mula sedar akan keperluan golongan muda dalam memimpin negara. Persoalan terbesar yang mungkin kita boleh lontarkan adalah; apakah pengundi sedia untuk memberikan ruang kepada golongan muda untuk mewakili suara mereka?
Sekiranya stigma golongan muda-tua tidak dipecahkan, maka sukar untuk kami melihat kita akan memiliki dinamik baharu dalam politik – terutamanya keterlibatan wakil rakyat golongan muda.