Apa Itu Mahar dan Hantaran Dalam Islam?

Kami kongsikan kepada anda apa sebenarnya perbezaan antara mahar dan juga hantaran menurut perspektif dalam agama islam.

Mahar VS Hantaran

Kekeliruan sering berlaku di antara mahar dan juga hantaran yang akhirnya menimbulkan tanda tanya, mana satukah yang sebenarnya disyariatkan oleh Islam? Mahar ialah pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dan ianya juga dinamakan dengan mas kahwin.

Manakala mahar di sisi istilah fiqh pula membawa maksud sesuatu harta yang wajib diserahkan oleh pihak lelaki kepada perempuan kerana berlakunya akad nikah yang menghalalkan perhubungan di antara keduanya. Istilah mahar juga disebut juga dengan al-Sodaaq di dalam kitab-kitab fiqh bahkan terdapat juga nama-nama yang lain diberikan untuk mahar yang mana kesemua istilah tersebut terdapat di dalam Al-Quran dan juga hadith Nabi SAW.

Hantaran Perkahwinan

Masyhur di sisi masayarakat Melayu kita pula dengan istilah hantaran perkahwinan yang mana membawa maksud wang yang dihantar oleh pihak lelaki kepada bakal mentua untuk perbelanjaan perkahwinan ataupun disebutkan juga sebagai belanja hangus. Ianya juga berupa hadiah seperti makanan, pakaian dan sebagainya.

Islam hanya menetapkan mahar di dalam perkahwinan, adapun hantaran berupa wang ataupun barang, ianya tertakluk kepada budi bicara, perbincangan di antara kedua belah pihak dan sepatutnya mahar dan hantaran ini tidak menjadi penghalang bagi perkahwinan yang bakal dilangsungkan.

 

Sebaik-baik Mahar

Tiada had yang tertentu bagi sesebuah mahar. Oleh itu, ianya tiada had terendah dan juga had maksimum dalam nilaian mahar tersebut bahkan yang pastinya, semua benda yang bernilai dan mempunyai nilai untuk dijual ataupun dijadikan sewaan maka ianya boleh dijadikan mahar sama ada ianya berbentuk ‘ain (barang tersebut), hutang ataupun manfaat, sedikit atau banyaknya ia seperti kereta, ataupun RM 5,000.00, ataupun sebuah rumah, ataupun mahar dari segi mengajarkan sesuatu dari ilmu-ilmu seperti mengajarkan Al-Quran kepada isteri.

Meskipun syarak tidak menetapkan kadar mahar namun di sana terdapat petunjuk dari Nabi SAW agar mahar ini dipermudahkan. Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Sebaik-baik pernikahan adalah yang dipermudahkan maharnya.

Riwayat Ibn Hibban (4072)

 

Maksudnya: Sesungguhnya, perkahwinan yang paling agung dan berkat adalah yang dipermudahkan perbelanjaannya.

Riwayat Al-Imam Ahmad (24529)

 

Berdasarkan hadith di atas, jelas menunjukkan betapa pernikahan yang tidak diasaskan dengan nilai yang mahal mas kahwinnya akan dikurniakan keberkatan. Penghargaan yang diberikan dari pihak perempuan terhadap keluarga lelaki menunjukkan keikhlasan dalam menjalinkan hubungan di antara dua keluarga. Keikhlasan yang dizahirkan akan menghilangkan sangkaan seperti mata duitan dapat dilenyapkan dari kamus kehidupan mereka.

Justeru, disyorkan agar mas kahwin mengikut kadar kemampuan, serta adat yang munasabah. Ianya semata-mata demi mencari keredhaan Allah SWT dan hadith Nabi SAW ada menyebutkan:

Maksudnya: Carilah sesuatu meskipun sebentuk cincin besi.

Riwayat Al-Bukhari (5121)

Inilah Pesananku…

 

Kami titipkan di sini beberapa perkara agar dapat di ambil perhatian bagi pasangan pengantin dan juga buat kedua-dua keluarga agar perjalanan majlis diberkati dan diredhai oleh Allah SWT. Antaranya:

 

Betulkan niat bahawa perkahwinan sejuzuk dari kehidupan yang semestinya dinawaitukan semata-mata Allah SWT.

Benarlah firman Allah SWT:

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ

Maksudnya: Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

(Al-An’aam: 162)

 

Perkahwinan asas dan matlamatnya seperti yang telah kami nyatakan pada awal perbincangan iaitu sakinah, mawaddah dan rahmah.

Dengan memahami matlamat ini, sebarang tindakan kita semata-mata mencapai matlamat tersebut.

Hendaklah kita menzahirkan rasa suka dan gembira serta menyebarkannya dalam urusan perkahwinan kerana matlamatnya untuk sama-sama gembira atas himpunan dari dua keluarga melalui pasangan masing-masing.

Amat malang jika api kemarahan, kata nista dan ucapan yang kurang baik telah menguasai majlis yang diharapkan mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Prinsip memudahkan dan bukannya memayahkan amat penting untuk diaplikasikan termasuklah di dalam perkahwinan.

Firman Allah SWT:

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ

Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Al-Baqarah: 185)

 

Hendaklah kita merapatkan saf ukhwah Islamiyyah sementelahan lagi dilaksanakan ikatan perkahwinan.

Ingatlah api dendam kemarahan dan menunjukkan sikap yang kasar banyak berakhir dan menatijahkan kekesalan. Alangkah baiknya jika sikap berlapang dada, hormat menghormati antara pasangan , kaum keluarga dan sahabat handai dapat diterapkan sudah tentu ianya menatijahkan keadaan yang harmoni.

Semoga dipermudahkan segala urusan kalian yang ingin berkahwin!

Sumber: Muftiwp.gov.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *