Niat Ganti Puasa Ramadan Yang Tertinggal

Ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah niat ganti puasa ramadan? Masih ramai yang ingin ganti puasa yang tertinggal tahun lalu bukan? Kami kongsikan niat ganti puasa kepada anda.

Antara syarat niat bagi puasa Ramadan dan puasa wajib yang lain (puasa qada dan nazar) ialah berniat di malam hari. Oleh itu, puasa hendak diniatkan sebelum terbit fajar keesokan harinya bagi puasa wajib.

Niat Ganti Puasa Ramadan

Tuntutan berniat ialah dengan berniat di dalam hati. Adapun hukum melafazkan niat dengan lisan adalah sunat supaya dapat membantu untuk menetapkan niat di dalam hati.

Manakala bagi lafaz niat puasa ganti pula hendaklah ditukarkan lafaz أَدَاءِ (tunai) dengan lafaz قَضَاءِ (ganti). Oleh yang demikian, lafaz niat bagi puasa ganti ialah seperti berikut:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ لِلَّه تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku berpuasa esok hari bagi qada (menggantikan) fardu puasa bulan Ramadan kerana Allah SWT.

WaAllahu a’lam.

Huraian Niat Ganti Puasa Ramadan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, niat bagi puasa Ramadan dan puasa wajib yang lain hendaklah diniatkan pada malam hari berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW bahawa:

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ مِن اللَيْلِ فَلَا صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat untuk berpuasa (keesokan harinya) di malam hari, maka tidak sah puasanya.

Riwayat al-Nasaie (2334)

Begitu juga di sisi mazhab al-Syafie disyaratkan seseorang untuk berniat di waktu malam bagi puasa ramadan dan puasa fardu yang lain seperti puasa ganti. Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Muqadimah al-Hadramiah bahawa:

الأول: النية لكل يوم. ويجب التبييت في الفرض دون النفل، فتجزئه نيته قبل الزوال، ويجب التعيين أيضًا دون الفرضية في الفرض

Maksudnya: (Rukun puasa) Pertama: Niat bagi setiap hari puasa. Diwajibkan untuk berniat pada waktu malam bagi puasa fardu dan tidak bagi puasa sunat. Sah niat tersebut jika diniatkan sebelum tergelincir matahari. Di samping itu, diwajibkan untuk ta’yin (menentukan jenis puasa seperti puasa Ramadan), tanpa diwajibkan untuk menyebut fardu bagi puasa fardu.[1] (Rujuk al-Muqadimah al-Hadramiah: 171 )

Berdasarkan teks di atas, diwajibkan untuk berniat bagi puasa fardu pada waktu malam, manakala bagi puasa sunat boleh untuk berniat pada siang hari sebelum tergelincir matahari jika sekiranya tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Tuntutan Niat

Tuntutan niat ini ialah merujuk kepada berniat di dalam hati. Justeru, apabila seseorang sudah meletakkan azam di dalam hati dan fikirannya tentang hakikat puasa tersebut, maka niatnya tersebut sah.

Memadai berniat dengan menyebutkan lafaz fardu sahaja mengikut pandangan yang paling sahih mazhab al-Syafie seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini:

وَظَاهِرُهُ أَنْ يَكُونَ الْأَصَحُّ اشْتِرَاطَ الْفَرْضِيَّةِ دُونَ الْأَدَاءِ وَالْإِضَافَةِ إلَى اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Apa yang jelas tentang pandangan yang paling sahih ialah disyaratkan menyebut fardu sahaja, tanpa disyaratkan untuk menyebut lafaz أَدَاءِ (tunai) dan lafaz ‘kerana Allah SWT’.[5] (Rujuk Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Maani Alfaz al-Minhaj, 2:151)

Baca juga: Mahar & Hantaran Dalam Islam

niat ganti puasa ramadan

Kesimpulan

Oleh yang demikian, lafaz niat bagi puasa ganti yang lengkap ialah seperti berikut:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ لِلَّه تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku berpuasa esok hari bagi qada (menggantikan) fardu puasa bulan Ramadan kerana Allah SWT.

WaAllahu a’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *