SABAH – Pesta Kaamatan, atau Hari Kaamatan, perayaan menuai yang disambut setiap tahun oleh pelbagai kumpulan etnik di Sabah, telah memulakan sambutannya. Antara kumpulan etnik yang terlibat termasuk Kadazandusun, Murut, dan Rungus.
Dikenali sebagai Tadau Kaamatan oleh masyarakat setempat, perayaan ini adalah manifestasi kesyukuran para petani kepada semangat padi, Bambaazon, dan Tuhan Kinoingan atas hasil tuaian yang melimpah ruah.
Pesta Kaamatan berasal dari kepercayaan dan amalan masyarakat Kadazandusun yang menghormati semangat padi yang dipanggil Bambaazon serta berterima kasih kepada Tuhan Kinoingan.
Sejarah Lagenda
Menurut sejarah, Kinoingan adalah Tuhan yang mempunyai seorang isteri bernama Suminundu dan seorang anak perempuan bernama Huminodun. Dalam satu kisah legenda, Huminodun dikorbankan dengan menanam pelbagai bahagian tubuhnya di tanah sebagai benih untuk memberi makan kepada rakyat.
Dari pengorbanan ini, tumbuhlah pokok padi, dan sebahagian daripada roh tubuh Huminodun menjadi roh padi, Bambaazon.
Kaamatan yang disambut pada bulan Mei merangkumi dua upacara utama iaitu Upacara Kemasukan Bambaazon ke Tangkob dan Upacara Magavau. Upacara Kemasukan Bambaazon ke Tankob ini melibatkan Bobohizan, pakar upacara etnik Kadazan, yang memainkan peranan penting dalam memastikan keberhasilan musim penanaman seterusnya.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Bobohizan akan mencari tangkai padi terbaik, meletakkannya di dalam tadang (bakul), dan memindahkannya ke dalam tangkob (tempat penyimpanan padi). Ini adalah untuk memastikan roh padi disimpan dengan baik dan petani boleh menuai dengan baik pada masa akan datang.
Manakala, Upacara Magavau pula adalah untuk memburu dan membawa balik Bambaazon yang hilang atau sesat. Pada zaman dahulu, upacara ini dijalankan semasa kemunculan pertama bulan selepas padi disimpan dalam tangkob. Bobohizan akan berjalan di sekitar sawah padi untuk mengumpulkan semua Bambaazon yang sesat, memastikan semua roh padi kembali dan melindungi hasil tanaman.
Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan menuai biasa, tetapi ia adalah simbolik penghormatan kepada semangat padi dan kepercayaan tradisional yang mendalam.
Masyarakat Kadazandusun, Murut, dan Rungus merayakan Pesta Kaamatan sebagai satu cara untuk memastikan keharmonian dan keberkatan dalam kehidupan mereka.
Upacara yang diadakan bukan sahaja memelihara tradisi lama tetapi juga menguatkan silaturahim dan perpaduan sesama masyarakat. Melalui perayaan ini, nilai-nilai kesyukuran, pengorbanan, dan keharmonian alam terus diwariskan kepada generasi seterusnya.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini