TAWAU – Seorang lelaki warga asing berjaya ditahan pihak polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi yang dijalankan di Kampung Batu 2, Jalan Apas, Tawau pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan di Facebook Page Polis Daerah Tawau memaklumkan bahawa suspek ditahan kira-kira jam 12.10 tengah hari oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau. Penahanan itu dibuat hasil maklumat yang diterima daripada orang awam melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih. Ketulan tersebut disyaki dadah jenis syabu seberat 0.18 gram yang dianggarkan bernilai RM20.00,” katanya.
Tambah beliau, hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Susulan penemuan tersebut, kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Seksyen ini memperuntukkan hukuman berat kepada mereka yang didapati bersalah memiliki atau menggunakan dadah berbahaya.
Mengulas lanjut mengenai keberkesanan aplikasi VSP, ACP Jasmin menegaskan bahawa aplikasi tersebut memainkan peranan penting dalam membantu pihak polis mengesan serta mengambil tindakan pantas terhadap aktiviti jenayah di lapangan.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Maklumat Awal VSP Bantu Polis Bertindak Segera
“Maklumat awal yang disalurkan oleh orang awam melalui VSP membolehkan pihak polis bertindak segera. Seterusnya membuat tangkapan dengan lebih tepat dan berkesan,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk terus memanfaatkan aplikasi VSP sebagai medium saluran maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.
“Kerjasama erat antara komuniti dan pihak polis amat diperlukan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat terus terpelihara,” tambahnya.
Polis IPD Tawau juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong usaha membanteras jenayah. Salah satunya adalah melalui penyertaan aktif dalam program-program komuniti dan saluran maklumat seperti VSP. Kini program ini terbukti menjadi antara alat penting dalam pemantauan keselamatan di peringkat akar umbi.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.