KENINGAU – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus mengorak langkah dalam memperkukuh kesedaran dan literasi percukaian dalam kalangan generasi muda menerusi penganjuran Program HASiL Your Tax Buddy (HYTB) yang memasuki tahun kelima penganjurannya.
Program yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Keningau baru-baru ini merupakan siri kedua bagi tahun 2025. Progra ini berjaya menghimpunkan seramai 100 orang mahasiswa yang menyertai inisiatif ini. HYTB merupakan kerjasama strategik antara HASiL, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan IPGM. Kerjasama ini adalah sebagai satu pendekatan holistik dalam membentuk mahasiswa yang celik cukai, bertanggungjawab dan berintegriti.
Majlis penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Encik Shahrul Niza Bishahrin, Pengarah Jabatan Khidmat Korporat HASiL. Turut hadir, Encik Doti Asing, Pengarah IPGM Kampus Keningau dan Datin Dayang Halimah Awang Ahmad, Pengarah Negeri HASiL Sabah.
Platform Pendidikan & Kesedaran Cukai
Dalam ucapannya, Shahrul Niza menegaskan bahawa program HYTB bukan sekadar aktiviti pendidikan semata-mata, sebaliknya berperanan penting dalam menyemai kesedaran sivik. Selain itu, turut memperkukuh kefahaman berkenaan peranan dan kepentingan cukai terhadap pembangunan negara. Dalam masa yang sama dapat menyemai semangat tanggungjawab dalam kalangan generasi muda.
“Program ini diharapkan dapat menjadi batu loncatan kepada pematuhan cukai secara sukarela. Ia juga membantu membentuk masyarakat yang lebih cakna terhadap tanggungjawab fiskal dan menyokong aspirasi negara ke arah pembangunan ekonomi yang mampan,” ujar beliau.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Pembelajaran Kreatif & Interaktif
Bertemakan pendekatan pembelajaran yang kreatif dan interaktif, HYTB mengetengahkan dua segmen utama iaitu HASiL Pocket Talk dan HASiL Taxplorace. Kedua-dua segmen ini direka bagi menyampaikan ilmu percukaian dengan pendekatan yang mudah difahami serta sesuai dengan gaya pembelajaran generasi muda masa kini.
Pocket Talk memberi ruang kepada peserta untuk memahami konsep asas percukaian, manakala Taxplorace menggabungkan elemen permainan dan pengembaraan sebagai strategi pembelajaran aktif yang menyeronokkan.
Ke Arah Masyarakat Cakna Cukai
Menurut HASiL, penerapan budaya kesedaran cukai perlu disemai sejak di bangku pengajian. Perkara ini perlu dilakukan agar wujud kesinambungan dalam pembentukan masyarakat yang komited terhadap tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai. Program seperti HYTB juga selaras dengan matlamat negara dalam meningkatkan tahap pematuhan cukai secara sukarela dan mengukuhkan sistem percukaian negara secara menyeluruh.
Dengan kejayaan siri kedua di IPG Keningau, HASiL optimis untuk meluaskan lagi jangkauan program HYTB ke seluruh negara. Hal ini dilakukan supaya lebih ramai mahasiswa dapat menyertai dan memahami peranan penting cukai dalam kemajuan negara. Komitmen berterusan seperti ini diyakini dapat melahirkan generasi muda yang celik cukai, berintegriti dan bertanggungjawab, serta menjadi tulang belakang dalam menjayakan agenda pembangunan nasional.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.