Dalam dunia yang serba pantas hari ini, wartawan bukan sekadar menjadi penyampai berita, mereka adalah suara masyarakat, saksi kepada realiti dan jambatan antara rakyat dan pemimpin. Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, sebuah acara berprestij yang menghimpunkan pengamal media dari seluruh pelusuk negara berlangsung di ibu kota, Kuala Lumpur pada 13-14 jun 2025.
HAWANA bukan sekadar sebuah sambutan, tetapi satu simbol penghargaan kepada insan-insan di sebalik tabir media yang saban hari menulis, merakam, dan melaporkan bukan untuk populariti, tetapi demi tanggungjawab sosial kepada rakyat.

Wartawan Akar Umbi: Menjejak Realiti, Bukan Hanya Cerita
Sebagai pengamal media dari Tawau, saya melihat sendiri bagaimana wartawan di daerah ini bekerja melangkaui batas lokasi dan masa. Bukan hanya berada di majlis rasmi di tengah bandar, tetapi juga menyusuri laluan hutan, menyeberangi sungai dengan bot kecil, malah meredah hujan dan panas demi sebuah berita untuk masyarakat.
Di kawasan seperti Kalabakan, yang kaya dengan flora dan fauna tetapi agak terpencil dari kemudahan bandar, wartawan tetap masuk ke kampung-kampung, ke lokasi yang hanya boleh diakses melalui jalan balak atau laluan air, hanya berbekalkan peralatan rakaman dan semangat yang tidak pernah padam.
Bagi kami, cuaca, lokasi dan jarak bukan penghalang. Apa yang penting ialah memastikan rakyat tahu apa yang berlaku dari isu infrastruktur, kebajikan, hinggalah kepada kejayaan anak tempatan.
Semangat Kolektif Media Tempatan
Yang paling menginspirasikan ialah budaya kerjasama antara wartawan di Tawau, walaupun datang dari agensi yang berbeza. Kami bekerja dalam satu persekitaran yang positif dan saling menyokong berkongsi maklumat, membantu dalam liputan, dan menjaga etika pemberitaan bersama. Inilah kekuatan sebenar media akar umbi.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
HAWANA: Harus Turun ke Akar Umbi
Sebagai pengamal media daerah, saya berpendapat HAWANA tidak seharusnya terhenti di pentas-pentas besar kota raya sahaja. Ia wajar dibawa turun ke peringkat negeri, daerah dan mukim kerana wartawan akar umbi juga memainkan peranan besar dalam menyampaikan suara rakyat.
Merekalah yang pertama tiba di lokasi bencana. Merekalah yang mendengar suara penduduk pedalaman. Dan merekalah juga yang menjadi penghubung antara rakyat marhaen dan pemegang kuasa.
HAWANA wajar dijadikan satu misi nasional untuk menghargai wartawan di semua peringkat dari media arus perdana hingga ke media komuniti.

Menulis Dengan Hati, Demi Masyarakat
Wartawan bukan sekadar menulis berita. Kami menulis dengan hati, berpandukan tanggungjawab sosial dan amanah untuk menyampaikan kebenaran. Dalam era pasca kebenaran yang penuh dengan maklumat palsu dan spekulasi, wartawan yang beretika dan berdedikasi semakin diperlukan.
Dan dalam semua cabaran itu, HAWANA datang sebagai suntikan semangat. Sekaligus sebagai tanda bahawa kerja-kerja senyap kami dihargai walau tanpa glamor, walau tanpa sanjungan.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.