TAWAU – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus memperkukuh usaha melahirkan barisan pengadil berwibawa dari Sabah melalui penganjuran Seminar dan Ujian Kecergasan Tahunan Pengadil Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Tawau.
Ketua Unit Pengadil FAM, Kassim Kadir Bacha berkata, Sabah menunjukkan perkembangan positif dalam pembangunan pengadil, termasuk peningkatan penyertaan pengadil wanita. Menurutnya, seminar kali ini berjaya mengumpulkan seramai 36 pengadil berbanding hanya sekitar 10 hingga 15 orang sebelum ini, hasil kerjasama erat antara Persatuan Bola Sepak Sabah dan Persatuan Bola Sepak Tawau.
Beliau berkata, FAM menekankan pemupukan integriti sejak awal menerusi pemantauan rapi pegawai pembangunan pengadil di setiap negeri. Pengadil dipantau sejak peringkat Kelas 3, dengan pemantauan berterusan selepas setiap perlawanan bagi memastikan prestasi dan integriti terpelihara. FAM turut memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengadil yang terbabit dalam isu integriti.
“Setiap keputusan pengadil mesti selari dengan undang-undang permainan FIFA. Kita mahu pastikan setiap perlawanan diadili secara adil, telus dan profesional. Usaha ini tidak boleh digerakkan oleh FAM sahaja, malah perlu melibatkan kerjasama persatuan bola sepak negeri, daerah dan komuniti tempatan,” katanya.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal, menyifatkan seminar ini sebagai bukti kesungguhan FAM dalam mencungkil bakat pengadil berkualiti dari Sabah. Katanya, Tawau berpotensi besar menjadi antara pusat pembangunan pengadil, selari dengan semangat memperkasa bola sepak di peringkat akar umbi.
Menurut Rina, pengadil bukan sahaja perlu mahir dan cergas, malah wajib memiliki integriti yang kukuh bagi berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan dan risiko unsur tidak sihat seperti rasuah. Beliau turut menyumbangkan RM3,000 bagi menyokong usaha mencungkil lebih ramai pengadil baharu, terutama dalam kalangan wanita.
“Saya bangga Sabah, khususnya Tawau, diberi kepercayaan menjadi tuan rumah program ini. Kehadiran pemimpin di lapangan mampu menyuntik semangat peserta agar lebih komited. Sokongan moral sebegini penting untuk melahirkan barisan pengadil profesional yang mampu membawa nama Sabah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Dalam masa sama, Rina menyeru FAM turut meneliti keperluan menaik taraf kemudahan sukan di Tawau yang masih berdepan kekangan infrastruktur, demi melahirkan lebih ramai atlet dan pengadil berbakat dari negeri ini.
Seminar yang berlangsung itu dilihat sebagai titik tolak penting dalam usaha jangka panjang FAM untuk membina barisan pengadil berwibawa dan berintegriti tinggi dari Sabah, selaras dengan matlamat melahirkan tenaga pengadil kebangsaan dan antarabangsa yang profesional.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.