Usaha Latih Belia Jadi Usahawan Agro

TAWAU – Seramai 27 belia dari daerah Tawau menyertai Kursus Penternakan Ayam Telur yang bertujuan untuk melatih golongan muda menjadi peneraju dalam sektor agromakanan negara, khususnya dalam menjayakan dasar keterjaminan makanan.

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah dengan kerjasama Gabungan Belia Bahagian Tawau, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, serta Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan, merupakan satu inisiatif pendidikan agro yang memberi fokus kepada pemerkasaan belia luar bandar.

Menurut YB Datuk Andi Suryady Bandy, program ini bukan sekadar kursus teknikal, tetapi satu pelaburan jangka panjang untuk menjadikan belia sebagai ejen penting dalam memastikan kestabilan bekalan makanan negara.

“Negara kita menyahut dasar keterjaminan makanan. Kita perlu pelbagaikan sumber dan melatih lebih ramai anak muda untuk terlibat dalam sektor penternakan, termasuk ayam telur dan itik. Ini bukan sekadar peluang pekerjaan, tetapi strategi membina daya tahan negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan kursus berkenaan yang diadakan baru-baru ini di Tawau.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Potensi Agropreneur: Geran Sehingga RM30,000 Ditawarkan

Datuk Andi turut menyeru agar belia Sabah lebih proaktif merebut peluang menerusi Geran Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang menawarkan pembiayaan sehingga RM30,000.

“Sayangnya, kadar permohonan dari Sabah masih rendah. Inilah masa terbaik untuk belia yang berminat dalam penternakan, pertanian atau perikanan memohon dan mengembangkan potensi mereka,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya kolaborasi berterusan antara agensi kerajaan, NGO dan pemain industri untuk menjadikan Sabah sebagai antara penyumbang utama keterjaminan makanan negara.

“Dengan semangat dan usaha bersepadu, kita bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai usahawan agro muda, malah mengukuhkan ekonomi luar bandar dan menjadikan negara ini berdikari dari segi sumber makanan,” tambah beliau.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *