Skateboard Cungkil Bakat Belia Tawau

TAWAU, 23 Ogos 2025 – Pertandingan Skateboard Sabah Open 2025 yang berlangsung di Skatepark, Kompleks Sukan Tawau mendapat perhatian istimewa apabila menerima lebih 3,000 penyertaan dari seluruh negara, termasuk Semenanjung Malaysia, Labuan, Kota Kinabalu serta wakil-wakil antarabangsa.

Ahli Parlimen Kalabakan merangkap ADUN Tanjung Batu, YB Datuk Andi Suryady Bandy, yang hadir merasmikan acara tersebut berkata, penganjuran pertandingan ini membuktikan bahawa Tawau berpotensi besar menjadi pusat pembangunan sukan ekstrem dan mampu diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Komuniti skateboard di Sabah sedang berkembang pesat. Kita ada ramai bakat yang perlu dicungkil, dan pertandingan seperti ini dapat menjadi platform untuk mereka mengasah kemahiran. Malah, peserta dari Sabah sendiri ada yang berjaya mara ke peringkat akhir,” katanya.

Fasiliti Terbaik di Sabah

Menurut beliau, fasiliti sukan skateboard yang dibina di Tawau sejak dua tahun lalu merupakan antara yang terbaik di Sabah, jauh lebih lengkap berbanding kemudahan di Kota Kinabalu dan Sandakan.

“Ini adalah satu mercu tanda baharu bagi Tawau. Dengan fasiliti yang baik, kita dapat melahirkan lebih ramai atlet yang berdaya saing dan mampu mewakili negeri, malah negara,” tambahnya.

Elak Gejala Sosial, Fokus kepada Bakat Belia

Datuk Andi turut menegaskan bahawa penyediaan kemudahan sukan seperti ini mampu mengurangkan gejala sosial dalam kalangan belia.

“Apabila anak muda ada tempat untuk menyalurkan bakat mereka, masa lapang dapat dimanfaatkan dengan lebih baik. Ini bukan sahaja membantu pembangunan diri mereka, tetapi juga memberi kesan positif kepada masyarakat secara keseluruhan,” jelasnya.

Dari Tawau ke Pentas Antarabangsa

Selain skateboarding, Tawau juga kini dikenali melalui penganjuran acara sukan lain seperti Tawau Marathon dan Trail Run. Justeru, YB Andi optimis Tawau mampu melangkah lebih jauh sebagai destinasi pelancongan berteraskan sukan, kesihatan, dan pendidikan.

“Pelancong yang datang ke Sabah bukan lagi hanya ke Semporna, tetapi juga ke Tawau. Kita mahu jadikan Tawau destinasi untuk sport tourism, medical tourism dan education tourism. Inilah masa untuk kita tonjolkan Tawau di pentas antarabangsa,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *