Kerajaan MADANI memberi keutamaan kepada Sabah dalam usaha mempercepat pelaksanaan projek pembangunan asas, termasuk penambahbaikan infrastruktur, kemudahan awam dan rangsangan pertumbuhan ekonomi wilayah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Menurut beliau, komitmen itu selari dengan tekad Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memastikan pembangunan di Sabah dan Sarawak dilaksanakan secara inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan masa depan negara.
Mustapha berkata, selain Sabah, Sarawak turut terus menerima perhatian kerajaan melalui pelaburan strategik, pengukuhan sektor tenaga dan pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi. Pada masa sama, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk aspek pentadbiran, kewangan dan pengurusan sumber seperti minyak dan gas kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.
Beliau turut mengalu-alukan langkah kerajaan memperluaskan agenda tenaga hijau, pelaburan dalam teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), serta pembangunan modal insan melalui TVET dan pendidikan tinggi. Inisiatif perumahan rakyat dan skim pembiayaan untuk belia juga disifatkan sebagai pendekatan holistik kerajaan berteraskan kesejahteraan rakyat.
Mustapha menegaskan Kerajaan MADANI tidak meminggirkan mana-mana wilayah, sebaliknya melihat Sabah dan Sarawak sebagai rakan strategik penting dalam membina Malaysia yang makmur, adil dan bersatu, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dan Segulai Sejalai.
#TawauKini



