Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan bahawa kes melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi ditutup sepenuhnya selepas hampir sembilan tahun siasatan dan prosiding berjalan.
Menurut kenyataan media AGC bertarikh 8 Januari 2026, keputusan itu dibuat susulan pelepasan tanpa pembebasan (Discharge Not Amounting to Acquittal – DNAA) yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023. Selepas keputusan DNAA tersebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan lanjut dan terperinci terhadap keseluruhan kes berkenaan.
AGC memaklumkan, siasatan lanjutan itu merangkumi aspek sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana Yayasan Akalbudi, termasuk isu-isu yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas beliau dipanggil untuk membela diri.
Hasil penelitian menyeluruh terhadap semua bahan siasatan dan keterangan baharu, AGC mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi. Penilaian tersebut turut mengambil kira skop dan fokus siasatan awal, kesesuaian serta kecukupan keterangan, selain dapatan siasatan lanjutan SPRM berkaitan operasi dan aliran dana Yayasan Akalbudi sepanjang tempoh penubuhannya.
“Sehubungan itu, Jabatan ini memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (‘No Further Action’) akan diambil berhubung kes berkenaan,” menurut kenyataan itu.
AGC turut menegaskan bahawa keputusan menutup kes tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan profesional dan undang-undang, selaras dengan kuasa budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah negara.




