Kesesakan Jalan Raya Jadi Fokus: Cadangan Bypass dan Flyover di Tawau

TAWAU – Kerjasama erat antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan menjadi kunci utama dalam memastikan pembangunan serta kesejahteraan rakyat di kawasan perbandaran Tawau dapat direalisasikan dengan lebih berkesan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi sesi taklimat pembangunan yang melibatkan enam jabatan penting, dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT), baru-baru ini.

Menurut beliau, taklimat berkenaan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR), MPT, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pembentungan, Jabatan Air serta Sabah Electricity, yang kesemuanya memainkan peranan penting dalam penyampaian perkhidmatan asas kepada rakyat.

Amanat Khas daripada YB Datuk Nizam

“Saya melihat sendiri komitmen yang sangat baik ditunjukkan oleh ketua-ketua jabatan dan pegawai terlibat. Mereka benar-benar serius dalam usaha menyelesaikan isu-isu yang sering dibangkitkan oleh rakyat seperti masalah air, jalan raya, elektrik dan kemudahan asas lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri taklimat berkenaan serta sesi makan tengah hari bersama ketua-ketua jabatan negeri, persatuan dari Tawau dan Kalabakan, selain kehadiran wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen kawasan.

Dalam kesempatan itu, Datuk Nizam turut menyampaikan amanat sulungnya kepada penjawat awam dan kepimpinan tempatan susulan pelantikannya sebagai Ahli Jemaah Menteri Sabah, selain menyampaikan halatuju serta pesanan Ketua Menteri Sabah berkaitan pelaksanaan agenda pembangunan kerajaan di peringkat akar umbi.

“Saya tekankan kepentingan kerjasama semua pihak agar setiap perancangan dan dasar pembangunan yang telah digariskan kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan di peringkat daerah, khususnya di Tawau,” katanya.

Datuk Nizam ketika ditemuramah media

Mengulas isu kesesakan jalan raya yang semakin meruncing di sekitar bandar Tawau terutamanya melibatkan kawasan DUN Apas, Datuk Nizam memaklumkan beberapa cadangan telah dikemukakan dan dipanjangkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) serta pihak berkaitan di peringkat negeri.

Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk pembinaan jalan pintasan (bypass) Tawau, pembinaan jejambat (flyover) di Bulatan Keris dan Bulatan Takada, selain cadangan membina jalan pesisir pantai (coastal road) dari kawasan luar bandar menuju ke pusat bandar Tawau.

“Saya sendiri telah menyampaikan cadangan ini secara terus kepada Ketua Menteri Sabah dan beliau memberikan reaksi yang positif dengan mengarahkan JKR Sabah menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah kesesakan trafik,” jelasnya.

Walaupun masih di peringkat kajian dan belum mempunyai garis masa pelaksanaan, Datuk Nizam optimis perancangan rapi dan kerjasama semua pihak mampu menjadikan Tawau sebuah bandar yang lebih terancang, moden dan sejahtera pada masa hadapan.

“Mudah-mudahan dengan komitmen berterusan ini, Tawau akan muncul sebagai sebuah bandar yang lebih baik dari segi kemudahan, perkhidmatan dan kualiti hidup rakyatnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *