“Bang tolong buka di Tawau” – Saharul Ridzwan umum lebarkan empayar Ayam Gepuk Papa Jon ke Tawau

Saharul Ridzwan

TAWAU, 6 FEBRUARI 2026 – Jenama restoran terkenal Ayam Gepuk Papa Jon by Saharul Ridzwan dijangka akan melebarkan operasinya ke daerah Tawau dalam masa terdekat, sekali gus menandakan perkembangan positif industri francais tempatan yang semakin mendapat tempat di Sabah.

Kemasukan jenama ini ke Wilayah Sabah digerakkan oleh beberapa usahawan muda tempatan dari Kunak dan Tawau yang melihat potensi besar pasaran makanan berkonsepkan citarasa Nusantara. Usaha tersebut membuahkan hasil apabila dua cawangan awal di Kota Kinabalu berjaya dibuka dan menerima sambutan memberangsangkan daripada pelanggan.

Saharul Ridzwan

Susulan kejayaan itu, pihak pengurusan kini merancang pembukaan cawangan baharu di Tawau bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap hidangan ayam gepuk yang menjadi identiti utama jenama berkenaan.

Dalam sebuah klip ringkas di media sosial, Saharul Ridzuan tampil di Persiaran Traulsen berhadapan Arca Tawau sambil memaklumkan pembukaan cawangan tersebut di daerah ini tidak lama lagi. “Korang rasa dekat Tawau ni, di mana lokasi paling sesuai? Saya nak minta pandangan korang, sebab saya tahu orang-orang Tawau memang ‘mappakkoe'” ujarnya.

Pembukaan cawangan ini dijangka memberi impak positif kepada sektor makanan dan minuman tempatan, termasuk membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti di Pantai Timur Sabah.

Saharul Ridzwan buka Ayam Gepuk Papa Jon Tawau

Walaupun tarikh rasmi pembukaan masih belum diumumkan, perkembangan ini telah mula menarik perhatian masyarakat Tawau yang menantikan kehadiran restoran berkenaan. Difahamkan, pemilihan lokasi sedang dijalankan secara teliti dengan keutamaan diberikan kepada kawasan strategik dan mempunyai tarikan komersial lain bagi memastikan aliran pelanggan yang stabil.

Dengan reputasi jenama yang semakin kukuh serta sokongan usahawan tempatan Sabah, kehadiran Ayam Gepuk Papa Jon by Saharul Ridzwan di Tawau dijangka menjadi satu lagi pilihan baharu bagi pencinta makanan ala Nusantara.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *