TAWAU – Keharmonian masyarakat berbilang kaum di Tawau sekali lagi dizahirkan menerusi sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat muhibah.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program tersebut berjaya mencapai matlamatnya apabila disertai oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.
Menurut beliau, kehadiran bukan sahaja daripada masyarakat Cina, malah Bumiputera, Melayu dan India membuktikan sambutan perayaan itu menjadi simbol penyatuan serta keharmonian rakyat di daerah ini.
“Sambutan ini jelas melambangkan perpaduan yang sentiasa terpelihara dalam kalangan masyarakat di Tawau. Kehadiran pelbagai kaum yang bersama-sama meraikan Tahun Baharu Cina menunjukkan semangat kebersamaan yang kukuh,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Beliau turut memuji penganjuran program yang diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan tradisional seperti tarian naga, tarian singa dan unikorn, yang mencerminkan kekayaan budaya serta kepelbagaian identiti masyarakat setempat.
Datuk Nizam turut mengucapkan tahniah kepada Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau, Henry Wong, atas kejayaan menganjurkan program yang disifatkan lebih meriah berbanding tahun sebelumnya, dengan penyertaan aktif daripada golongan warga emas hingga belia.
Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan belia dan industri kreatif, Datuk Nizam menyifatkan penglibatan golongan muda dalam sambutan tersebut amat dekat di hatinya, terutama apabila persembahan nyanyian oleh dua anak muda daripada latar belakang etnik berbeza mencuri tumpuan hadirin.
“Saya dimaklumkan kedua-dua belia ini telah mencipta nama dalam bidang seni suara dan berjaya menarik perhatian ramai di platform YouTube. Ini satu perkembangan yang amat membanggakan,” katanya.

Menurut beliau, terdapat perancangan untuk mengembangkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi, termasuk peluang memperkenalkan bakat tempatan ke peringkat antarabangsa seperti China, sekali gus mengangkat nama Malaysia dan Sabah di persada dunia.
Datuk Nizam menegaskan kerajaan negeri, selaras dengan amanah yang diberikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, akan terus memperkukuh usaha pencarian bakat (talent search) dan pengenalpastian bakat (talent identification) dalam kalangan belia.
“Kita mahu belia yang mempunyai kemahiran dan potensi besar ini diberikan platform sewajarnya supaya mereka mampu berjaya bukan sahaja di peringkat negeri dan kebangsaan, malah di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Beliau menambah, sokongan berterusan akan terus diberikan kepada persatuan dan kesatuan belia sebagai rakan strategik dalam melahirkan generasi muda yang kreatif, berdaya saing dan mampu membawa nama Sabah ke tahap yang lebih tinggi.

