Program Ramadan Beramal dan Berilmu: PTS Singgah Sahur & Khatam al-Quran 2026

program ramadan beramal

TAWAU, 07 Mac 2026 – Sempena keberkatan bulan Ramadan, Politeknik Tawau Sabah (PTS) menganjurkan Program Ramadan Beramal dan Berilmu: PTS Singgah Sahur & Khatam al-Quran 2026, sebuah inisiatif kemasyarakatan yang bertujuan menyantuni petugas barisan hadapan yang bertugas pada waktu sahur di sekitar daerah Tawau. Program ini turut menjadi platform mempereratkan hubungan silaturrahim antara institusi, pelajar, industri dan komuniti setempat.

Program yang berlangsung bermula 1 hingga 12 Mac 2026 ini diisi dengan pelbagai pengisian kerohanian seperti aktiviti tadarus al-Quran yang dijalankan di kampus Politeknik Tawau Sabah. Kemuncak program diakhiri dengan Majlis Khatam al-Quran pada 13 Mac 2026 yang melibatkan penyertaan besar daripada warga politeknik dan para pelajar.

program ramadan beramal

Baca Juga:

Selain itu, program turut menampilkan Qiyamullail Perdana dan sesi bersahur bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau (IPD Tawau) yang diadakan pada 7 Mac 2026 bertempat di Masjid As Salam IPD Tawau. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk bersama-sama mengimarahkan masjid melalui ibadah malam di samping menyantuni petugas keselamatan yang bertugas sepanjang bulan Ramadan.

Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan kerjasama antara pelbagai pihak dalam menjayakan program kemasyarakatan serta menghayati ilmu al-Quran. Di samping itu, program ini turut meningkatkan kemahiran peserta dalam aspek perhubungan dan kolaborasi bersama institusi, industri dan komuniti serta menguruskan program secara lebih efektif.

Melalui penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan dan kerjasama antara institusi, peserta juga dapat membina sikap empati serta menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang sentiasa berkhidmat demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Pada masa yang sama, pengisian seperti tadarus dan khatam al-Quran sepanjang Ramadan turut memberi ruang kepada warga politeknik untuk mendalami serta menghayati ajaran al-Quran.

program ramadan beramal

Program ini melibatkan penyertaan 10 orang pegawai Politeknik Tawau Sabah, 20 orang Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, 19 orang Jawatankuasa Pelajar Kolej Kediaman, 40 peserta Qiyamullail Perdana bersama IPD Tawau, 30 peserta tadarus dan khatam al-Quran, serta penyertaan 400 orang pelajar dalam Majlis Khatam al-Quran.

Secara keseluruhannya, program ini merupakan hasil kerjasama erat antara Politeknik Tawau Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan institusi dan komuniti melalui aktiviti kerohanian serta khidmat masyarakat sepanjang bulan Ramadan.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *