“Depan rakyat berjanji, belakang tabir halang hak Sabah”, demikian kata Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika mendedahkan satu dokumen mahkamah yang menurutnya menunjukkan usaha Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah berkaitan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah.
Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, dokumen yang sampai ke tangannya merupakan Notis Usul (Notice of Motion) yang difailkan oleh Kerajaan Persekutuan pada Februari 2026 bagi memohon penangguhan (stay) terhadap pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober 2025.
Perintah berkenaan sebelum ini memihak kepada Sabah Law Society dalam kes tuntutan pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah.
Menurut Madius, tindakan tersebut menimbulkan persoalan kerana sebelum ini Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerajaan hanya memfailkan rayuan terhadap alasan penghakiman, dan bukannya terhadap keputusan mengenai hak berkenaan.
“Kita sudah merasakan ada sesuatu yang tidak masuk akal dalam rayuan itu. Walaupun ia dinafikan berkali-kali, namun tindakan memfailkan notis usul untuk menggantung perintah mahkamah ini seolah-olah membuktikan niat sebenar mereka,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara yang dianggap penting kepada rakyat Sabah itu dilakukan tanpa pemakluman umum.
Menurutnya, jika kerajaan benar-benar komited untuk memulangkan hak Sabah, tidak sepatutnya ada usaha untuk menggantung pelaksanaan perintah mahkamah yang telah diputuskan.
Madius juga menyifatkan tindakan berterusan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah sebagai sesuatu yang boleh dilihat sebagai tidak menghormati institusi kehakiman.
Isu pemberian khas tersebut berkait dengan peruntukan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan mekanisme pemberian khas kepada Sabah berdasarkan hasil yang diperoleh oleh Persekutuan dari negeri itu.
Peruntukan tersebut sering dikaitkan dengan semangat Malaysia Agreement 1963 yang menjadi asas pembentukan Malaysia.
Sehubungan itu, Madius menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar soal politik, sebaliknya melibatkan hak perlembagaan Sabah yang telah dipersetujui sejak pembentukan negara.
Beliau turut berkongsi dokumen notis usul berkenaan kepada umum bagi membolehkan rakyat Sabah menilai sendiri perkembangan terbaru berkaitan tuntutan hak 40 peratus tersebut.
#TawauKini








