KOLUM I Di Tikar Masjid Al Kauthar, Belajar Erti Syukur

KOLUM | Jam menunjukkan sekitar 5.50 petang. Waktu berbuka puasa masih berbaki kira-kira 20 hingga 30 minit lagi. Dalam perjalanan pulang selepas singgah sebentar di Bazar Ramadan Sabindo, penulis melalui kawasan Masjid Al Kauthar.

Tiba-tiba terlintas di fikiran untuk singgah seketika. Bukan sekadar untuk berbuka, tetapi untuk merasai sendiri suasana bersungkai di masjid yang sering diperkatakan orang ramai setiap kali Ramadan.

Sebaik melangkah masuk ke kawasan masjid, mata tertumpu ke arah ruang yang sudah dipenuhi orang ramai. Tikar-tikar telah dibentangkan, manakala makanan pula tersusun rapi menanti waktu berbuka. Ada yang sudah duduk mengambil tempat bersama keluarga dan rakan-rakan, sementara yang lain masih mencari ruang untuk duduk.

Suasananya cukup sederhana, namun penuh makna.

Sambil menunggu azan Maghrib, pelbagai suasana dapat dilihat. Ada yang berbual santai bersama kenalan, ada yang datang bersama ahli keluarga, dan tidak kurang juga yang hadir sendirian. Di satu sudut lain, beberapa jemaah dilihat khusyuk membaca al-Quran, manakala sebahagian lagi menadah tangan memanjatkan doa.

Di situlah penulis mula memerhati dengan lebih dekat — mereka yang hadir datang daripada pelbagai latar belakang.

Ada yang jelas berkemampuan, sekadar ingin merasai suasana berbuka puasa di masjid sambil membawa makanan sendiri. Namun ada juga yang mungkin benar-benar bergantung kepada juadah yang disediakan di sini. Barangkali inilah antara hidangan utama mereka sepanjang Ramadan kali ini.

Saat itu terdetik satu perasaan yang sukar digambarkan.

Kadangkala kita merasakan hidup ini susah, tetapi sebenarnya masih ramai yang berdepan kesukaran yang jauh lebih besar. Justeru, inisiatif pihak masjid menyediakan makanan berbuka untuk sesiapa sahaja yang datang wajar dihargai.

Ia bukan sekadar memberi makanan, tetapi juga membuka ruang untuk orang ramai berkumpul, berkongsi rezeki dan menghidupkan suasana Ramadan bersama-sama.

Penulis juga teringat satu perkongsian daripada personaliti TV3, Fedtri Yahya, yang pernah menulis bahawa orang yang berbuka di masjid bukanlah kerana kebuluran semata-mata, tetapi kerana ingin mendekatkan diri kepada Tuhan.

Kata-kata itu seakan membetulkan tanggapan sesetengah pihak yang mungkin memandang sinis kepada mereka yang berbuka di masjid.

Hakikatnya, di sinilah tempat orang mencari keberkatan Ramadan — berkongsi rezeki, merendahkan diri dan mendekatkan hati kepada Yang Maha Pencipta.

Sesekali berbuka di masjid seperti ini sebenarnya memberi satu pengalaman yang berbeza — sederhana, tetapi penuh keinsafan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *