TAWAU, 12 Mac 2026 – “Kami setuju prosedur JPN, tapi bukan itu yang berlaku di kaunter”, demikian antara maksud luahan guru Sekolah Alternatif, Mukmin Nantang sebagai respon terhadap video penjelasan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung isu melibatkan seorang pelajarnya dikenali sebagai Jolina.
Mukmin menjelaskan bahawa beliau bersetuju dengan prosedur yang diterangkan dalam video tersebut, termasuk kaedah pembuktian seperti saksi, dokumen sokongan serta ujian DNA bagi mengesahkan hubungan antara ibu dan anak. Menurutnya, prosedur itulah sebenarnya yang dituntut oleh pihak pemohon selama ini.
“Semua yang disebut dalam video itu memang prosedur yang kita mahu. Kita tidak minta lebih. Atas kefahaman tentang prosedur inilah kita berani ajukan persoalan tentang kisah adik Jolina dan realiti JPN di lapangan,” katanya.
Namun beliau mendakwa perkara yang dinyatakan dalam video tersebut tidak berlaku seperti yang diterangkan ketika pemohon berurusan di kaunter.
Dalam kes Jolina, Mukmin berkata ibu pelajarnya itu merupakan warganegara Malaysia dan mereka telah menyediakan pelbagai dokumen yang diperlukan termasuk laporan polis, surat akuan bersumpah di hadapan pesuruhjaya sumpah serta membawa saksi bagi menyokong permohonan.

Malah menurutnya, mereka telah beberapa kali hadir ke pejabat JPN bagi mendapatkan perkembangan mengenai permohonan tersebut. Namun selepas menunggu panggilan yang dijanjikan selama berbulan-bulan, Jolina hadir sendiri ke kaunter JPN untuk mendapatkan jawapan mengenai status permohonannya.
“Malangnya permohonan ditolak begitu sahaja secara lisan oleh pegawai JPN. Tiada surat rasmi, tiada sebab penolakan dan tiada maklumat lanjut tentang apa yang perlu dilakukan selepas itu,” katanya.
Mukmin turut menjelaskan bahawa berdasarkan penerangan dalam video JPN sendiri, pegawai sepatutnya mencadangkan beberapa kaedah pembuktian tambahan sekiranya bukti sedia ada tidak mencukupi, termasuk ujian DNA atau dokumen tambahan.

Namun menurutnya perkara itu tidak disyorkan kepada pemohon sehingga menyebabkan Jolina berada dalam keadaan buntu tanpa mengetahui langkah seterusnya.
Sehubungan itu, beliau menghargai usaha JPN menjawab isu tersebut secara terbuka, namun berharap prosedur yang diterangkan dalam video itu benar-benar dapat dilaksanakan oleh pegawai di lapangan.
Mukmin turut memaklumkan bahawa Jolina dan ibunya bersedia menjalani ujian DNA sekiranya ia diperlukan bagi membuktikan hubungan kekeluargaan mereka.
“Adik Jolina dan ibu sanggup menjalani ujian darah seperti yang disebutkan dalam video. Persoalannya, adakah JPN sanggup merealisasikan prosedur ini,” katanya.
Menurut beliau, kes tersebut bukan sekadar melibatkan seorang pelajarnya, tetapi turut mewakili realiti yang dihadapi oleh ramai individu dan kanak-kanak tanpa dokumen di Sabah.
“Adik Jolina hanya inginkan jawapan agar beliau dapat keluar daripada kehidupan sebagai individu tanpa negara (stateless) di Malaysia,” katanya lagi.
Beliau berharap penjelasan daripada JPN bukan sahaja menjadi panduan kepada pemohon, tetapi juga menjadi rujukan kepada pegawai di lapangan agar prosedur yang dinyatakan dapat dilaksanakan dengan lebih jelas dan konsisten.
#TawauKini




