“Perlu dilindungi, kata Hajiji, tapi kenapa Niko digari?”

Niko digari

KOTA KINABALU, 16 Mac 2026 – Penahanan Niko yang tular sejak semalam kini mencetuskan persoalan komitmen Sabah terhadap piagam United Nations (PBB), sebagaimana yang pernah dijanjikan oleh Ketua Menteri, Hajiji Noor, berhubung perlindungan terhadap komuniti stateless.

Beberapa hari sebelum Aidilfitri, seorang pelajar berusia 17 tahun dari Sekolah Alternatif yang dikenali sebagai Niko dilaporkan ditahan polis ketika berada di sebuah pusat membeli-belah di Kota Kinabalu untuk membeli barangan dalam program kebajikan bersama golongan asnaf.

Remaja itu dilaporkan digari di tempat awam di hadapan orang ramai sebelum dibawa ke balai polis dan dimasukkan ke dalam lokap, sekali gus mencetuskan reaksi meluas di media sosial. Polis Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Abd Rahman hari ini memaklumkan tangkapan dibuat ketika operasi cegah jenayah selepas Niko, pada pandangan mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Namun bagi sebahagian masyarakat, kejadian itu menimbulkan persoalan lebih besar tentang bagaimana hampir sejuta komuniti stateless sebenarnya dilayan di negeri ini. “Isu anak tanpa dokumen di Sabah bukan suatu hal yang baru. Semua orang Sabah sedar akan isu. Mereka menjadi sebahagian besar dalam hidup orang Sabah. Lihat sekeliling; kenalan, kawan, anak jiran, rakan sekerja, pelayan restoran, petani, nelayan bahkan ada kaitan keluarga juga wujud orang tidak berdokumen.”

“Hal ini wujud dan tidak selesai setelah negara Malaysia wujud 1963. Angka mereka dianggarkan lebih 1 juta orang. Ini bukan angka mengejutkan bagi orang Sabah. Kita sedar dan hari-hari melihat mereka dan hidup bersama mereka” kata Mukmin Nantang, guru Sekolah Alternatif dan koordinator Borneo Komrad.

Presiden Ikatan Anak Muda Tawau, Naiem Zikri, berkata kes tersebut bercanggah dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh Hajiji Noor sendiri mengenai kedudukan komuniti stateless. Dalam kenyataan pada Julai 2024, Hajiji menegaskan bahawa komuniti Adat Laut (stateless) merupakan kelompok yang tidak mempunyai negara dan tidak boleh disamakan dengan pendatang asing tanpa izin.

Menurutnya ketika itu, komuniti tersebut perlu diberikan perlindungan oleh negara tempat mereka berada, selaras dengan prinsip yang dirujuk kepada piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. “Kita tidak boleh samakan Pala’u yang tidak mempunyai kewarganegaraan ini dengan pendatang asing tanpa izin. PATI boleh dihantar pulang ke negara asal, tetapi Pala’u tiada negara,” kata Hajiji ketika ditemui pemberita pada Julai 2024.

Namun Naiem berkata realiti yang berlaku dalam kes Niko menunjukkan sesuatu yang berbeza. Menurut beliau, Niko hanyalah seorang pelajar dari komuniti Bajau Laut yang sedang mengikuti pendidikan di Sekolah Alternatif Borneo Komrad dan ditahan ketika menyertai program kebajikan untuk membeli keperluan Hari Raya.

“Kita bercakap tentang seorang kanak-kanak yang sedang berusaha mendapatkan pendidikan dan masa depan yang lebih baik. Tetapi dia digari di pusat membeli-belah dan dimasukkan ke dalam lokap,” katanya. Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai gambaran kepada nasib ribuan lagi kanak-kanak dari komuniti yang sama yang berdepan masalah identiti sejak sekian lama.

“Niko adalah salah satu daripada ribuan lagi kanak-kanak stateless yang pernah disebut sendiri oleh Ketua Menteri Sabah,” katanya. Menurut Naiem, kes tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai isu penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu difahami dalam konteks kemanusiaan dan realiti sosial yang telah lama wujud di Sabah.

“Jika benar komuniti ini perlu dilindungi seperti yang dinyatakan, maka kejadian seperti ini wajar menimbulkan persoalan tentang bagaimana komitmen itu diterjemahkan di lapangan,” katanya. Beliau turut menyatakan solidariti terhadap Niko sambil berharap remaja tersebut dapat dibebaskan supaya dapat meneruskan kehidupannya seperti remaja lain.

Kes tersebut terus mendapat perhatian ramai di media sosial dengan sebahagian pihak menggesa agar nasib kanak-kanak dari komuniti stateless diberikan perhatian lebih serius, khususnya dalam aspek perlindungan hak dan akses kepada pendidikan.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *