KOTA KINABALU, 17 Mac 2026 – Penahanan remaja ‘stateless’ Niko di Kota Kinabalu pada Ahad kini menembusi perhatian media antarabangsa apabila South China Morning Post menyiarkan satu artikel khas mengenai penahanannya melalui Asia Correspondent mereka.
Dalam laporan tersebut, kes Niko tidak dilihat sebagai kes terpencil, sebaliknya sebagai gambaran kepada realiti lebih besar di Sabah yang melibatkan komuniti ‘stateless’, golongan yang tidak diiktiraf sebagai rakyat oleh mana-mana negara.
Artikel itu turut menyorot bagaimana situasi ini memberi kesan besar kepada kehidupan mereka, termasuk akses kepada pendidikan, kesihatan dan perlindungan asas, walaupun ramai dalam kalangan mereka lahir dan membesar di Malaysia.
Dalam masa sama, liputan antarabangsa ini secara tidak langsung mencetuskan gelombang perbincangan dalam negara, khususnya dalam memahami perbezaan antara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan stateless, dua istilah yang sering disalah tafsir sebagai sama.
Menjawab kekeliruan ini, sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya melalui persatuan Demokrat Malaya telah mengeluarkan infografik yang memperjelaskan perbezaan asas antara kedua-duanya.
Menurut infografik tersebut, PATI ialah individu yang mempunyai kewarganegaraan negara lain tetapi berada di Malaysia tanpa permit sah. Mereka masih mempunyai negara asal dan boleh dihantar pulang.
Sebaliknya, stateless tidak diiktiraf oleh mana-mana negara, tidak memiliki dokumen seperti pasport, dan dalam banyak kes lahir di Malaysia tanpa sebarang pengiktirafan kewarganegaraan.
Perbezaan ini penting kerana isu yang dihadapi juga berbeza, PATI berkait dengan imigresen, manakala stateless melibatkan isu kewarganegaraan dan identiti yang jauh lebih kompleks.
Kes Niko kini dilihat sebagai titik penting yang bukan sahaja menarik perhatian dunia, tetapi juga membantu masyarakat tempatan memahami realiti sebenar isu stateless yang selama ini sering disamakan dengan PATI.


