KOTA KINABALU, 17 Mac 2026 – Niko, pelajar ‘stateless’ dari Sekolah Alternatif, dimaklumkan telah dibebaskan sekitar jam 5 petang Selasa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Perkara itu disahkan melalui sumber rapat TawauKini, dengan gurunya meluahkan rasa syukur sebaik dimaklumkan mengenai perkembangan tersebut.
“Alhamdulillah,” katanya ringkas ketika dihubungi.
Sebelum ini, penahanan Niko mencetuskan perbincangan meluas dalam kalangan masyarakat, khususnya berhubung krisis individu tanpa kewarganegaraan di Sabah.
Kes tersebut turut menarik perhatian media antarabangsa, sekali gus membuka ruang kepada dunia luar untuk memahami realiti kompleks yang dihadapi komuniti ‘stateless’ di Sabah.
Niko, 17, sebelum ini dilaporkan ditahan oleh pihak polis ketika keluar bersama guru pengiring dalam satu program membeli keperluan asnaf sempena Syawal di sebuah pusat beli belah pada Ahad. Beliau dikatakan digari ketika kejadian itu berlaku.
Perkembangan terbaharu ini dijangka terus menyemarakkan perbincangan mengenai pendekatan terbaik dalam menangani isu ‘stateless’, khususnya melibatkan kanak-kanak dan remaja di Sabah.

