Nyaris maut! Pikap terbabas rempuh tiang elektrik di Jalan Apas

nyaris maut

Dua kontraktor Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) nyaris maut apabila pikap dinaiki mereka terbabas ketika melalui selekoh sebelum merempuh tiang elektrik dalam kejadian di Batu 11, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, salah seorang mangsa berusia 41 tahun yang merupakan penumpang kenderaan terbabit mengalami patah bahu kanan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu lelaki berusia 44 tahun itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh.

Katanya, ketika kejadian, kedua-dua lelaki terbabit dalam perjalanan dari Kampung Inderasabah menuju ke Batu 4 selepas selesai menjalankan kerja pembaikan wayar elektrik milik Sabah Electricity.

nyaris maut

“Setibanya di selekoh, pemandu dipercayai hilang kawalan menyebabkan pacuan empat roda terbabas dan terseret kira-kira 35 meter sebelum menaiki pembahagi jalan.

“Kenderaan itu kemudian merempuh tiang lampu jalan hingga tumbang sebelum terkena sebuah kereta dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kereta berkenaan dipandu wanita berusia 35 tahun dari arah Batu 10 menuju ke Kampung Mambalua.

Jasmin berkata, kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan, manakala penumpang pacuan empat roda dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melalui jalan berselekoh selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum digunakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *