KOTA KINABALU, 22 April 2026 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah mencatat satu pencapaian apabila berjaya memperoleh peruntukan sebanyak RM1.5 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi bagi tujuan penambahbaikan kemudahan pembelajaran di universiti itu.
Presiden MPP UMS, Allen Paul Justinus Situ berkata, dana berkenaan diluluskan selepas satu memorandum mahasiswa diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir ketika lawatan rasmi beliau ke Program Dapur Siswa Madani UMS pada Ahad lalu.

Tiga kluster utama memorandum
Menurut beliau, memorandum tersebut menggariskan tiga kluster utama yang menyentuh isu jurang infrastruktur digital, pemodenan fasiliti pembelajaran praktikal serta kestabilan bekalan asas dan ketahanan infrastruktur kampus.
Katanya, peruntukan yang diluluskan itu memberi tumpuan kepada pemerkasaan makmal dan prasarana teknologi maklumat (IT), sekali gus dijangka membantu meningkatkan mutu pembelajaran serta kebolehpasaran graduan UMS pada masa akan datang.

Menerusi hantaran di media sosial, Zambry turut mengesahkan sendiri kelulusan berkenaan dengan menyatakan bahawa permohonan yang dibawa oleh MPP UMS melibatkan kerja-kerja pembaikan fasiliti usang di kampus telah diluluskan dengan peruntukan segera sebanyak RM1.5 juta.
Menurut beliau, kelulusan tersebut mencerminkan kesediaan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk memberi perhatian terhadap isu kebajikan dan keperluan sebenar mahasiswa, khususnya melibatkan kemudahan pembelajaran yang telah lama dibangkitkan oleh pelajar di Universiti Malaysia Sabah.
Dalam kenyataan ringkas itu, beliau turut menyifatkan keputusan berkenaan sebagai bukti komitmen kementerian dalam mendengar suara mahasiswa, selain merakamkan penghargaan kepada MPP UMS kerana membawa isu tersebut.
Hantaran itu sekali gus dilihat sebagai pengesahan terbuka bahawa tuntutan berkaitan kemudahan kampus yang dikemukakan oleh mahasiswa bukan sahaja diterima malah telah diberikan perhatian terus di peringkat kementerian.
Sambut baik, gesa perincian & ketelusan
Turut mengulas perkara sama, Timbalan Presiden MPP UMS, Qistina Qaisara Binti Syahril Akmar menegaskan bahawa kelulusan dana itu perlu disusuli dengan ketelusan dalam pelaksanaan dan pengagihan peruntukan.
“Saya menyambut baik kelulusan dana sebanyak RM1.5 juta untuk penambahbaikan peralatan makmal dan prasarana IT. Namun jika melihat kepada keperluan sebenar di UMS, jumlah tersebut seharusnya boleh dipertingkatkan lagi bagi memastikan kemudahan pembelajaran yang lebih berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa mahasiswa berhak mengetahui secara jelas bagaimana dana tersebut dibelanjakan, ke mana ia disalurkan dan sejauh mana kesannya terhadap pengalaman pembelajaran di kampus.

“Setiap peruntukan yang disalurkan perlu disertakan dengan perincian yang jelas dan telus kerana mahasiswa bukan sekadar penerima, tetapi pihak yang akan merasai sendiri impak daripada pelaksanaan dana ini,” katanya.
Peruntukan itu dilihat sebagai satu perkembangan positif kepada warga kampus, namun dalam masa sama membuka ruang kepada tuntutan supaya setiap dana yang diumumkan benar-benar diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai oleh mahasiswa secara menyeluruh.
Memorandum ‘cease & desist’
Dalam perkembangan berkaitan, gerakan mahasiswa ‘Suara Mahasiswa UMS’ memaklumkan bahawa memorandum berhubung notis Cease and Desist yang diterima daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang UMS susulan penggunaan nama dan logo universiti ketika membangkitkan isu air serta isu rasuah, kini telah diserahkan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim.
Presiden Suara Mahasiswa UMS, Fidaa’ Ahmad Fahmi berkata, Adam Adli telah mengambil maklum secara langsung mengenai isu tersebut dan memberi jaminan bahawa memorandum berkenaan akan dipanjangkan kepada pejabat Menteri Pendidikan Tinggi untuk tindakan lanjut sekiranya timbul sebarang halangan dalam proses penyerahan rasmi.

Pada masa sama, Suara Mahasiswa UMS turut memaklumkan pihaknya bersetuju untuk menggantung sementara penggunaan logo rasmi UMS selama 14 hari sebagai menghormati ruang perbincangan dengan pihak universiti, namun menegaskan bahawa undang-undang tidak seharusnya digunakan bagi menekan suara kritikal mahasiswa.
Perkembangan itu menunjukkan isu kebajikan mahasiswa dan kebebasan bersuara di kampus kini semakin mendapat perhatian bukan sahaja di peringkat universiti, malah turut sampai ke pihak kementerian sekaligus mencetus sebuah wacana awam.
View this post on Instagram
#TawauKini




