Timbalan Presiden tidak setuju USNO keluar GRS, Pandikar terburu-buru

Keputusan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak dibuat secara sebulat suara, malah disifatkan sebagai terburu-buru.

Timbalan Presiden USNO, Datuk Ibrahim Linggam berkata, langkah yang diumumkan Presiden parti, Tan Sri Pandikar Amin Mulia itu tidak mencerminkan pandangan keseluruhan kepimpinan.

Menurutnya, Majlis Eksekutif Tertinggi USNO mempunyai 37 ahli, namun hanya 18 orang hadir dalam mesyuarat pada 22 April lalu.

timbalan presiden

“Justeru, tidak tepat untuk mengatakan keputusan itu dipersetujui secara menyeluruh.

“Malah, ramai ahli yang tidak hadir dilaporkan tidak bersetuju dengan keputusan untuk keluar daripada GRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan sokongan terhadap GRS masih kukuh dalam kalangan pemimpin USNO di peringkat pusat dan bahagian, khususnya terhadap Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata tindakan Pandikar meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi GRS adalah keputusan peribadi dan tidak mewakili pendirian parti secara keseluruhan.

“Kami menghormati keputusan itu, namun kami kekal menyokong GRS dan tidak bersetuju Usno keluar daripada gabungan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa wujud unsur tekanan dalam mendapatkan persetujuan terhadap keputusan berkenaan, termasuk dakwaan bahawa sebahagian ahli diminta menandatangani surat sokongan atau berdepan risiko kehilangan jawatan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan prinsip demokrasi dalam parti perlu dipelihara dan setiap keputusan penting harus mengambil kira pandangan semua pihak.

“Walaupun presiden mempunyai hak membuat keputusan, suara pemimpin lain juga perlu dihormati,” katanya.

Beliau berkata, hubungan antara USNO dan GRS masih baik tanpa sebarang pertikaian besar, malah sebarang perbezaan pandangan boleh diselesaikan melalui rundingan.

“Keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik serta pembangunan Sabah terus terjamin,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *