Cadangan tambahan RM100 SARA khas untuk Sabah, bantu 500,000 penerima

sara

KOTA KINABALU – Bantuan asas kepada rakyat Sabah dicadang diperkukuh apabila kerajaan negeri digesa menambah RM100 kepada skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan.

Gesaan itu datang daripada Datuk Masiung Banah, yang berpandangan langkah tersebut boleh meningkatkan jumlah bantuan bulanan kepada RM200 bagi kira-kira 498,000 penerima di negeri ini.

Menurut beliau, tekanan kos sara hidup yang semakin ketara yang didorong faktor luar seperti kenaikan harga minyak dunia dan gangguan rantaian bekalan, memerlukan intervensi tambahan supaya rakyat tidak terus terbeban.

Beliau menambah, sekiranya kemampuan kewangan negeri mencukupi, tambahan RM100 itu boleh memberi kesan langsung secara positif kepada kesejahteraan isi rumah, khususnya golongan yang paling terkesan.

Cadangan tersebut dikemukakan ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tan Sri Musa Aman di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam ucapannya, Masiung turut mengemukakan beberapa langkah lain sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

Antaranya termasuk cadangan moratorium pinjaman melibatkan kumpulan B40 dan M40 serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekiranya situasi global terus mencabar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *