JOHOR BAHRU, 20 Mei 2026 – Lima gerakan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil mengeluarkan kenyataan bersama membantah tindakan saman yang didakwa tidak munasabah serta polisi universiti yang dianggap menindas mahasiswa.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Liga Mahasiswa UTM, Revolusi Penggerak Mahasiswa UTM, Evolusi Mahasiswa UTM, Reformasi Mahasiswa UTM dan Kelab Mahasiswa UMNO UTM pada Selasa.
Menurut mereka, mahasiswa semakin terbeban apabila saman dijadikan sebagai “alat keuntungan” melalui penetapan KPI wajib kepada pegawai keselamatan kampus.
Mereka turut mendakwa sistem denda terkumpul serta penolakan Polisi Kadar Rata (Flat Rate Policy) memberi tekanan kewangan kepada pelajar yang sudah berdepan kos sara hidup tinggi.
Selain itu, mahasiswa turut mempertikaikan pewartaan kawasan Lingkaran Ilmu sebagai zon larangan parkir yang didakwa menjadi “perangkap bersistem” untuk mengeluarkan lebih banyak saman kepada pelajar.
Dalam kenyataan sama, mereka turut membantah pelaksanaan perintah berkurung di kampus yang dianggap menyekat kebebasan mahasiswa untuk bekerja sambilan, berpersatuan dan menjalankan aktiviti luar waktu kelas.
Gerakan mahasiswa itu menegaskan universiti seharusnya menjadi medan kebebasan intelektual dan bukannya tempat untuk “mengongkong serta menghukum” pelajar.
Antara tuntutan utama mereka ialah membatalkan penetapan KPI saman terhadap mahasiswa, meminda Buku Peraturan Mahasiswa dengan memansuhkan klausa yang dianggap menindas serta melibatkan mahasiswa secara telus dalam setiap proses pindaan peraturan universiti.
#TawauKini

