Tular Gajah Pygmy cedera di Kalabakan belum ditemukan, operasi menjejak diteruskan

Gajah Pygmy

Seekor gajah Pygmy Borneo yang mengalami kecederaan pada bahagian belalai masih gagal dikesan semula selepas videonya tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, operasi mengesan haiwan itu telah dijalankan pada 13 dan 14 Mei di kawasan Felda Kalabakan Selatan, namun belum berhasil.

Katanya, penilaian awal pasukan veterinar mendapati kecederaan dialami gajah terbabit agak serius dan mungkin memerlukan pembedahan sekiranya berjaya ditemui.

“Rawatan melibatkan penjagaan rapi termasuk pemantauan harian dan penempatan sementara antara satu hingga dua minggu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mengenai punca kecederaan masih diteruskan termasuk kemungkinan terkena jerat atau objek tajam di kawasan ladang.

Menurutnya, rakaman video menunjukkan luka pada belalai gajah itu dipercayai sudah mula sembuh dan setakat ini tidak menunjukkan jangkitan serius. Pasukan renjer hidupan liar masih melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan sekitar Kalabakan dalam usaha menjejaki semula gajah terbabit.

Untuk rekod, dianggarkan terdapat antara 1,500 hingga 2,000 ekor gajah Borneo di Sabah ketika ini dan gajah jenis ini memang sinonim dengan negeri ini.