MARA mahu tukar nama MRSM KK kepada MRSM Tun Musa Aman

MRSM Tun Musa Aman

KOTA KINABALU, 27 Mei 2026 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) bercadang menamakan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Kinabalu di Kinarut sebagai MRSM Tun Musa Aman. Perkara itu dicadangkan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan TYT Sabah itu.

Hasrat itu dimaklumkan Pengerusi MARA, Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Ahad.

Dr Asyraf berkata, cadangan penamaan semula itu turut dizahirkan bagi pihak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengiktirafan terhadap peranan besar Tun Musa dalam memperkukuh pembangunan pendidikan dan modal insan di negeri ini.

Menurut beliau, penamaan semula MRSM Kinarut itu dilihat sebagai satu penghargaan bermakna terhadap komitmen Tun Musa dalam memperluaskan akses pendidikan berkualiti kepada rakyat Sabah.

Dalam kunjungan tersebut, Dr Asyraf turut diiringi Ketua Pengarah MARA, Dato Zulfikri Osman; Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan MARA, Encik Sahrizal Mohd Saderi; serta Pengarah MARA Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sharhadat.

Upacara pemasyhuran pertukaran nama MRSM berkenaan dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Untuk rekod, MRSM Kota Kinabalu merupakan MRSM pertama di Sabah yang dibangunkan di kawasan rizab Hutan Simpan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA) seluas 35 ekar.

Institusi itu ditubuhkan oleh MARA di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah bagi melahirkan lebih ramai pelajar Bumiputera dalam bidang sains dan teknologi.

Perletakan batu asas MRSM Kota Kinabalu telah disempurnakan oleh Dato’ Mustapha Mohamed pada 7 Mac 1999, manakala MRSM pertama di Malaysia ialah MRSM Seremban, Negeri Sembilan yang ditubuhkan pada tahun 1972.

#TawauKini