Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini membuka pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) secara dalam talian dan fizikal, melibatkan 23 kategori kenderaan pengangkutan barangan darat di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menterinya, Armizan Mohd Ali, berkata permohonan boleh dibuat melalui portal MySubsidi di https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ yang mula dibuka semalam, atau di kaunter KPDN termasuk kaunter bergerak.
Beliau menjelaskan, proses ini hanya untuk pendaftaran dan belum melibatkan pelaksanaan SKDS. Inisiatif kaunter bergerak pula disasar membantu syarikat di kawasan luar bandar yang berdepan kekangan internet.
Syarat utama termasuk memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) sah, berdaftar sebagai kenderaan komersial dengan LPKP Sabah atau Sarawak, serta perniagaan berdaftar dengan SSM atau agensi berkaitan. Kenderaan juga mesti dalam salah satu daripada 23 kategori diluluskan.
Terdahulu, jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil, memaklumkan kerajaan sedang meneliti pelaksanaan subsidi diesel bersasar seperti BUDI95 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.