Kerajaan Sabah memutuskan menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di negeri ini kerana bimbang ia boleh menjejaskan kuasa autonomi imigresen Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah meneliti isu berkaitan pelaksanaan AKPS.

Menurutnya, pelaksanaan AKPS dilihat berpotensi menghakis kuasa dan hak istimewa imigresen Sabah dari sudut perundangan serta operasi di pintu masuk negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengesan percanggahan antara Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak adalah hak yang tidak boleh dirunding kerana termaktub dalam MA63,” katanya dalam kenyataan media.
Sehubungan itu, Sabah menangguhkan pelaksanaan AKPS sehingga ada jaminan bahawa hak autonomi imigresen dan kedudukan perlembagaan negeri terus terpelihara.