Ketiadaan tokoh berpengaruh, Bersama dijangka sukar menembusi politik Sabah

Bersama

Parti Bersama Malaysia (Bersama) dijangka berdepan cabaran besar untuk menembusi politik Sabah yang masih kuat dipengaruhi sokongan terhadap parti tempatan, kata penganalisis.

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lee Kuok Tiung, berkata keputusan PRN Sabah lalu menunjukkan kecenderungan itu apabila hanya lapan daripada 73 kerusi DUN dimenangi parti nasional. Daripada jumlah itu, Barisan Nasional (BN) menang enam kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing satu kerusi.

Menurutnya, ruang untuk Bersama juga dilihat terhad kerana kebanyakan kawasan politik di Sabah sudah mempunyai corak sokongan yang jelas, selain parti itu tidak mempunyai ramai pemimpin berprofil tinggi di negeri berkenaan.

Bersama kini diterajui bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengambil alih parti itu pada 17 Mei lalu selepas meninggalkan PKR.

Di Sabah, parti itu digerakkan antaranya oleh bekas ketua penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin, yang menyatakan Bersama mahu menawarkan pilihan politik baharu dan akan bertanding di kawasan PH, BN serta PN.

Seorang lagi penganalisis UMS, Syahruddin Awang Ahmad, berpandangan Bersama bakal berdepan kesukaran membina pengaruh di Sabah kerana tidak berasaskan acuan politik tempatan.

Katanya, tanpa kekuatan sendiri, parti itu mungkin hanya mampu berperanan sebagai rakan kecil dalam mana-mana gabungan politik. Beliau turut membandingkan keadaan itu dengan Upko yang mempunyai sejarah serta jentera lebih kukuh sehingga berjaya memenangi tiga kerusi pada PRN lalu.