Kota Kinabalu gempar – 12 pemimpin, 288 pengikut didakwa dari kumpulan ajaran sesat ditahan polis

Kota Kinabalu gempar – 12 pemimpin, 288 pengikut didakwa dari kumpulan ajaran sesat ditahan polis

KOTA KINABALU – Seramai 300 individu ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di sebuah dewan sekolah di Likas pada Sabtu, termasuk 12 individu yang dipercayai memegang peranan sebagai pemimpin dan penganjur utama sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani.

Operasi berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama antara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan maklumat awam mengenai penganjuran satu program keagamaan yang mencurigakan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, aduan berkaitan program itu diterima oleh JHEAINS pada Khamis sebelum siasatan serta pemantauan dilakukan.

Siasatan mendapati program yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Mei hingga 31 Mei itu mempunyai kaitan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani, sebuah kumpulan yang telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah dan diwartakan sejak 2007.

Daripada jumlah tangkapan yang dibuat, 12 individu dikenal pasti sebagai pemimpin serta penganjur program, manakala 288 lagi merupakan peserta dan ahli yang menghadiri perhimpunan tersebut.

Menurut beliau, program itu turut disertai barisan kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) bersama pengikut dari beberapa daerah di Sabah.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa merampas pelbagai bahan yang dipercayai digunakan untuk menyebarkan fahaman kumpulan terbabit. Antara yang disita ialah 24 banting memaparkan pengasas dan pemimpin utama Ahmadiyah Qadiani, selain kira-kira 200 naskhah buku serta bahan bacaan berkaitan.

Turut dirampas ialah dokumen penganjuran program, rekod kehadiran peserta dan beberapa bahan penerbitan lain bagi membantu siasatan.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tujuan dokumentasi serta tindakan lanjut oleh JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.

Polis pada masa sama menggesa orang ramai supaya mendapatkan maklumat agama daripada sumber yang diiktiraf serta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti atau ajaran yang meragukan.