Sabah catat penurunan kes dadah, lebih 900 kes berkurang dalam setahun

Sabah catat penurunan kes dadah, lebih 900 kes berkurang dalam setahun

KOTA KINABALU: Jumlah individu yang dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Sabah menunjukkan penurunan pada tahun lalu apabila sebanyak 8,665 kes direkodkan berbanding 9,607 kes pada 2024.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, angka tersebut mencerminkan pengurangan sebanyak 5.9 peratus dan membuktikan keberkesanan usaha bersepadu yang dilaksanakan pelbagai agensi dalam memerangi masalah dadah di negeri itu.

Menurut beliau, kejayaan berkenaan dicapai hasil tindakan menyeluruh yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada mengekang bekalan dadah, malah turut menumpukan usaha mengurangkan permintaan terhadap bahan terlarang tersebut.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sabah yang berlangsung di Menara Kinabalu pada Isnin.

Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atas komitmen berterusan dalam melaksanakan program pencegahan, rawatan dan pemulihan bagi menangani gejala penagihan dadah di Sabah.

Beliau juga memuji usaha serta kerjasama yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Kerajaan negeri, katanya, akan terus memperkasakan kerjasama antara agensi penguatkuasa, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat serta komuniti setempat bagi memastikan trend penurunan kes dapat dikekalkan pada masa hadapan.

Masalah dadah kekal menjadi antara cabaran sosial utama yang memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan aspek pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan bagi melindungi kesejahteraan masyarakat serta generasi muda daripada ancaman penyalahgunaan bahan terlarang.