Perahu Naga Jadi Simbol Perpaduan, Kerjasama Kerajaan dan Komuniti Cina Penting Untuk Kemajuan Sabah

Perahu Naga Jadi Simbol Perpaduan, Kerjasama Kerajaan dan Komuniti Cina Penting Untuk Kemajuan Sabah

TAWAU – Kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan negeri terus dinikmati oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor berkata, Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau yang menghimpunkan 44 pertubuhan Cina di daerah ini telah lama menjadi suara penting masyarakat Cina serta berperanan memelihara warisan budaya dan tradisi yang menjadi identiti komuniti berkenaan.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, sempena Pertandingan Perahu Naga Ke-39 di Tawau.

Menurutnya, pertandingan perahu naga bukan sekadar acara sukan dan kebudayaan, malah menjadi platform yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum serta memperkukuh hubungan komuniti di daerah ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara Henery Wong Chen Khiong bersama seluruh jawatankuasa penganjur yang berjaya menganjurkan Pertandingan Perahu Naga kali ke-39 dengan jayanya.

“Program seperti ini bukan sahaja memelihara budaya tradisi masyarakat Cina, malah menjadi wadah untuk mengeratkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah,” katanya.

Beliau turut berharap kepimpinan Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau bersama jawatankuasa pemuda dan wanita terus membawa idea baharu serta suntikan kreativiti bagi memperkukuhkan peranan pertubuhan itu dalam membela kebajikan dan kepentingan masyarakat Cina di Tawau.

Katanya, organisasi berkenaan mempunyai sejarah yang panjang dan menjadi penghubung penting antara komuniti Cina dengan pelbagai lapisan masyarakat serta pihak kerajaan.

“Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau telah menyaksikan sendiri pembangunan dan perubahan yang berlaku di Tawau. Oleh itu, saya menyeru semua pihak untuk terus bersatu tenaga dan bekerjasama agar organisasi ini dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menekankan kepentingan hubungan strategik antara kerajaan negeri dan pertubuhan masyarakat bagi memastikan lebih banyak inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

Menurutnya, kerjasama yang kukuh antara kedua-dua pihak mampu mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi, sosial dan pembangunan yang akhirnya memberi kesejahteraan kepada masyarakat.

“Hanya melalui kerjasama yang erat, kita dapat mencipta lebih banyak peluang dan memastikan setiap lapisan masyarakat dapat berkongsi hasil pembangunan pesat yang sedang dinikmati Sabah ketika ini,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh masyarakat untuk terus mengekalkan semangat perpaduan, saling menghormati dan berganding bahu dalam menghadapi cabaran masa depan demi mewujudkan komuniti yang lebih makmur dan harmoni.

“Marilah kita bersama-sama mengekalkan kecergasan dan kreativiti dalam organisasi serta terus bersatu padu untuk membina masa depan yang lebih baik bagi masyarakat dan negeri Sabah,” katanya.