Itulah pengalaman yang dilalui oleh anak kelahiran Tawau, Nurlina Arappe, apabila terpilih menyertai Young Professional Fellowship (YPF) Australia 2026 yang berlangsung di Melbourne, Australia pada 10 hingga 13 Februari lalu.

Lebih membanggakan, beliau diberi penghormatan mewakili Malaysia bersama delegasi dari pelbagai negara dalam program antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin muda dan profesional berbakat dari seluruh dunia.
Menurut Nurlina yang merupakan graduan Universiti Malaysia Sabah, program YPF merupakan inisiatif pembangunan kepimpinan global yang menghimpunkan golongan profesional muda, usahawan, aktivis masyarakat, penyelidik dan bakal pemimpin masa depan untuk berkongsi idea, pengalaman serta pandangan dalam pelbagai bidang.
“Program ini membuka peluang kepada peserta untuk membincangkan isu-isu global, membina jaringan antarabangsa serta mempelajari amalan terbaik dalam kepimpinan, inovasi dan pembangunan masyarakat,” katanya.

Beliau menjelaskan, penyertaan ke program berprestij itu bukan diperoleh secara automatik kerana proses pemilihannya sangat kompetitif.
Katanya, hanya individu yang menunjukkan potensi kepimpinan, pencapaian profesional, penglibatan aktif dalam komuniti serta komitmen terhadap pembangunan diri dan masyarakat akan dipilih sebagai delegasi.
“Peluang untuk terpilih menyertai YPF Australia 2026 merupakan satu penghormatan yang amat bermakna dan menjadi pengiktirafan terhadap perjalanan serta usaha yang telah saya lalui selama ini,” ujarnya.
Sepanjang program berlangsung, Nurlina berpeluang berinteraksi dengan peserta dari pelbagai latar belakang budaya, profesion dan negara.
Walaupun masing-masing datang daripada pengalaman yang berbeza, beliau berkata mereka berkongsi satu matlamat yang sama iaitu keinginan untuk terus belajar, berkembang dan memberi impak positif kepada masyarakat.
“Setiap sesi perbincangan dan perkongsian membuka perspektif baharu tentang kepimpinan, kerjasama rentas budaya dan cabaran dunia masa kini,” katanya.
Sebagai rakyat Malaysia, beliau mengakui pengalaman membawa nama negara ke platform antarabangsa merupakan satu penghormatan yang besar.

Malah, ia juga menjadi tanggungjawab untuk memperkenalkan nilai, budaya dan potensi rakyat Malaysia kepada dunia.
“Pengalaman ini membuktikan bahawa anak muda Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan bersaing di peringkat global apabila diberikan peluang yang sewajarnya,” katanya.
Menurut Nurlina, penyertaan dalam program tersebut bukan sekadar menambah pengalaman, malah mengubah cara beliau melihat masa depan.
Katanya, setiap peluang perlu dihargai, setiap cabaran harus diterima dengan terbuka dan setiap impian berhak diberikan peluang untuk direalisasikan.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada golongan muda agar tidak takut untuk bermimpi besar dan berani mencuba peluang baharu.
“Kadangkala satu permohonan, satu peluang atau satu keputusan untuk mencuba mampu mengubah perjalanan hidup seseorang. Apa yang penting adalah keberanian untuk bermula.
“Impian mungkin tidak membawa kita ke destinasi yang kita jangkakan, tetapi ia pasti akan membawa kita ke tempat yang lebih baik daripada jika kita tidak pernah bermimpi langsung,” katanya.
Bagi Nurlina, penyertaan dalam Young Professional Fellowship Australia 2026 bukanlah penamat sebuah perjalanan, sebaliknya permulaan kepada satu bab baharu yang lebih mencabar, bermakna dan penuh peluang pada masa hadapan.