KOTA KINABALU – Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) melakar satu lagi sejarah dalam bidang perubatan apabila berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan sepasang kembar siam jenis Pygopagus (Pygopagus Conjoined Twins) yang berlangsung di Dewan Bedah Utama hospital itu pada 2 Julai 2026.

Kejayaan tersebut diumumkan menerusi kenyataan media Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini, yang menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai satu detik bersejarah bagi perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Kembar siam jenis Pygopagus merujuk kepada keadaan bayi yang bercantum pada bahagian belakang badan, melibatkan tulang punggung (sacrum), neural tube, bahagian bawah saluran pencernaan serta alat kelamin.
Menurut kenyataan itu, pasangan bayi perempuan dari kawasan pedalaman Sabah tersebut dilahirkan secara pra-matang pada usia kandungan 32 minggu. Salah seorang daripada bayi berkenaan turut mengalami komplikasi kesihatan melibatkan masalah jantung dan kegagalan buah pinggang.

Disebabkan keadaan kritikal itu, pasukan perubatan memutuskan supaya pembedahan pemisahan dilakukan lebih awal, iaitu ketika bayi berusia 28 hari, berbeza dengan amalan kebiasaan yang lazimnya menjalankan prosedur tersebut ketika bayi berusia antara empat hingga enam bulan.
Pembedahan kompleks itu dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai disiplin kepakaran, termasuk pasukan Neonatologi, Anestesiologi, Pembedahan Pediatrik, Pembedahan Otak dan Saraf Tulang Belakang, Neurosurgeri, Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Radiologi, selain disokong oleh jururawat serta kakitangan klinikal lain. Turut terlibat ialah pakar-pakar perubatan dari Semenanjung Malaysia yang berganding bahu bersama pasukan HWKKS bagi memastikan prosedur berkenaan berjalan dengan selamat.

Hasil pembedahan tersebut, kedua-dua bayi berjaya dipisahkan dan kini berada dalam keadaan stabil. Mereka sedang menerima rawatan serta pemantauan rapi di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HWKKS.
JKNS berkata, kejayaan itu mencerminkan dedikasi, kepakaran dan komitmen tinggi seluruh warga kerja HWKKS dalam memberikan rawatan terbaik kepada kanak-kanak yang menghidap anomali kongenital kompleks (complex congenital anomalies).

Menurut jabatan itu lagi, pengukuhan kepakaran khusus seperti ini di Sabah akan membolehkan kanak-kanak yang memerlukan rawatan kompleks menerima rawatan dengan lebih cepat tanpa perlu dirujuk ke luar negeri. Pada masa sama, ia dapat mengurangkan beban emosi, kewangan dan logistik yang terpaksa ditanggung oleh keluarga pesakit.
Pencapaian tersebut sekali gus menjadi bukti perkembangan positif perkhidmatan kesihatan pakar di Sabah serta keupayaan tenaga perubatan tempatan dalam mengendalikan prosedur berisiko tinggi yang memerlukan kepakaran pelbagai disiplin.