PUTRAJAYA: Ekonomi Sabah menunjukkan prestasi yang jauh lebih kukuh pada 2025 apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat 5.1% kepada RM88.8 bilion, berbanding hanya 1.2% pada tahun sebelumnya dengan nilai RM84.5 bilion.
Prestasi memberangsangkan itu didorong oleh pertumbuhan positif dalam hampir semua sektor utama ekonomi, khususnya sektor pembinaan, perlombongan dan pengkuarian, pembuatan serta perkhidmatan.
Sektor Perkhidmatan terus menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah dengan berkembang 4.5%, disokong oleh aktiviti berkaitan pelancongan termasuk subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan serta perkhidmatan kerajaan.
Sementara itu, sektor Perlombongan dan Pengkuarian, yang merupakan penyumbang kedua terbesar ekonomi negeri, kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.9% selepas merekodkan penguncupan -4.9% pada 2024. Pemulihan ini didorong oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah, kondensat dan gas asli.
Dalam sektor Pembuatan, Sabah turut mencatat pertumbuhan 5.0%, meningkat berbanding 1.2%s pada tahun sebelumnya. Prestasi itu disumbangkan oleh pengeluaran produk minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan selain industri pemprosesan makanan.
Sektor Pertanian pula kembali berkembang sebanyak 0.9% selepas menguncup 3.2% pada 2024, hasil peningkatan prestasi subsektor tanaman khususnya kelapa sawit.
Pencapaian paling menonjol direkodkan oleh sektor Pembinaan yang melonjak 28.3%, sekali gus menjadi antara negeri dengan kadar pertumbuhan pembinaan tertinggi di Malaysia. Pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan dalam semua subsektor pembinaan, terutama kejuruteraan awam.
Di peringkat nasional, Sabah turut tersenarai antara lima negeri yang mencatat pertumbuhan sektor pembuatan melebihi kadar nasional apabila sektor itu berkembang 5.0%. Negeri ini juga menyumbang kepada pemulihan subsektor minyak mentah dan kondensat negara apabila pengeluaran di Sabah meningkat 5.0%, berbanding penyusutan 7.9% pada tahun sebelumnya.
Dari segi struktur ekonomi, sektor Perkhidmatan menyumbang 52.1%kepada ekonomi Sabah, diikuti Pembuatan (22.0%), Pertanian (13.9%), Perlombongan dan Pengkuarian (7.2%) serta Pembinaan (4.4%).
Bagi pendapatan per kapita, KDNK per kapita Sabah meningkat daripada RM30,575 pada 2024 kepada RM31,125 pada 2025, menunjukkan peningkatan selari dengan pertumbuhan keseluruhan ekonomi negeri.
Sumber : DOSM