Wajah baharu Tawau! mural keempat tambah seri landskap bandar

Wajah baharu Tawau! mural keempat tambah seri landskap bandar

Sebuah mural baharu kini menghiasi bandar Tawau sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperindah landskap bandar dan mewujudkan suasana yang lebih menarik kepada penduduk serta pengunjung.

Mural itu dihasilkan menerusi kerjasama Majlis Perbandaran Tawau (MPT), syarikat Nutriplus dan pemilik bangunan, William Chin melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, projek berkenaan membuktikan kerjasama antara pelbagai pihak mampu memberi impak positif kepada imej bandar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Mural Street Art Tawau di Dataran Bangunan Generise, Jalan Haji Karim, Fajar.

Menurutnya, mural tersebut dihasilkan oleh pelukis tempatan, Andi Syafie Andi Parentah dan merupakan mural keempat hasil sentuhan beliau di daerah ini.

Nizam berkata, karya seni awam bukan sahaja mencantikkan persekitaran, malah membantu membentuk identiti bandar yang lebih kreatif dan berdaya tarikan.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai pemilik bangunan tampil menyokong usaha seumpama itu bagi memperluaskan lagi inisiatif memperindah bandar serta memperkasa industri kreatif tempatan.