KPDN perkenal sistem eCOSS baharu, subsidi minyak masak kini lebih telus dan bersasar

KPDN perkenal sistem eCOSS baharu, subsidi minyak masak kini lebih telus dan bersasar

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuhkan pengurusan Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif baharu yang memberi tumpuan kepada ketelusan, pemantauan lebih berkesan serta memastikan subsidi minyak masak benar-benar dinikmati oleh golongan yang layak.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha penambahbaikan itu dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun 2023 dan diperkukuhkan lagi selepas mengambil kira syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pengurusan kawalan harga serta subsidi minyak masak.

Menurut beliau, antara perubahan paling signifikan ialah pelaksanaan Sistem eCOSS, sebuah platform digital yang merekodkan keseluruhan proses pengurusan kuota, transaksi jualan dan tuntutan subsidi bermula dari peringkat kilang penapisan sehingga ke tangan peruncit.

“Melalui eCOSS, setiap transaksi dapat direkodkan secara lebih sistematik. Ini membantu meningkatkan ketelusan dan mengurangkan ruang untuk berlakunya penyelewengan dalam rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata, fasa kedua sistem tersebut turut melibatkan penggunaan aplikasi mudah alih yang membolehkan transaksi jual beli direkodkan secara terus di kaunter ketika pengguna membuat pembelian.

Katanya, langkah itu bukan sahaja memudahkan pemantauan malah membantu kerajaan mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan dengan lebih cepat dan tepat.

Dalam perkembangan sama, Armizan memaklumkan bahawa KPDN merancang untuk memperkenalkan penggunaan kod QR pada kad pengenalan baharu (MyKad) sebagai kaedah pengesahan identiti pembeli pada masa hadapan.

“Apabila mekanisme ini dilaksanakan kelak, hanya individu yang benar-benar layak dapat membeli minyak masak bersubsidi. Ia merupakan antara langkah penting bagi memastikan subsidi kerajaan tidak disalahgunakan,” jelas beliau.

Selain memperkukuh sistem digital, kementerian turut melaksanakan beberapa dasar baharu termasuk larangan penjualan minyak masak peket satu kilogram kepada bukan warganegara yang telah berkuat kuasa sejak 1 Mac lalu.

Dalam masa sama, prosedur baharu turut diperkenalkan bagi menguruskan minyak masak rosak atau sisa selain mengintegrasikan Sistem eCOSS dengan Sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memperkemaskan penyelarasan bantuan kepada golongan sasar.

KPDN juga meningkatkan usaha pemantauan melalui audit rekod, verifikasi tuntutan subsidi, pemeriksaan berkala serta kerjasama strategik bersama pelbagai agensi penguatkuasaan.

Usaha bersepadu itu dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) selain diteruskan melalui Ops Tiris 4.0 Bersepadu bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Pada masa sama, mekanisme pengedaran turut diperkemas melalui sistem pengezonan yang menetapkan 50 peratus agihan kepada pemborong dan 50 peratus kepada peruncit, sekali gus memastikan bekalan diagihkan secara lebih seimbang mengikut keperluan kawasan.

Armizan menegaskan bahawa kementerian akan terus menilai keberkesanan pelaksanaan COSS berdasarkan hasil naziran dalaman, laporan Jabatan Audit Negara serta cadangan yang dikemukakan oleh PAC.

“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak sama ada kilang penapis, syarikat pembungkus, pemborong mahupun peruncit yang didapati melanggar undang-undang. Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan setiap sen subsidi kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan,” tegas beliau.

Beliau berkata, kerajaan komited memastikan sistem pengurusan subsidi minyak masak terus diperkasa selaras dengan usaha meningkatkan integriti, mengurangkan ketirisan serta menjamin bekalan minyak masak bersubsidi sentiasa mencukupi untuk rakyat Malaysia yang layak.