KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan projek perintis penghantaran ubat menggunakan dron di Tawau, Sabah sekitar September atau Oktober ini, sekaligus memperluaskan peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
Ketua Pejabat NADI MCMC, Dr Mohd Arif Adenan, berkata inisiatif yang dilaksanakan di bawah program NADI Smart Services itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk di kira-kira 12 kampung, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang berdepan kesukaran mendapatkan bekalan ubat secara berkala.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu melibatkan kerjasama KKM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), kerajaan Sabah serta beberapa agensi lain menerusi pendekatan whole-of-government bagi memastikan operasi berjalan lancar dan selamat.
Menurutnya, penggunaan dron bagi penghantaran ubat dapat mengurangkan keperluan penduduk untuk melakukan perjalanan jauh ke pusat kesihatan, sekali gus menjimatkan masa serta kos pengangkutan, terutama bagi pesakit yang tinggal jauh dari hospital.
Beliau berkata, kajian yang dijalankan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapati penduduk di kawasan pedalaman Sabah lazimnya perlu menempuh perjalanan antara 20 hingga 30 kilometer untuk mendapatkan rawatan di hospital, menjadikan kos pengangkutan antara cabaran utama dalam mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Katanya, sekiranya projek perintis itu mencapai matlamat yang ditetapkan, MCMC akan mempertimbangkan untuk memperluaskan pelaksanaannya ke kawasan lain yang mempunyai keperluan serupa.
Dr Mohd Arif turut menjelaskan bahawa perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos telah pun disediakan oleh Pos Malaysia, manakala NADI berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pengambilan ubat dalam komuniti setempat.
Selain itu, katanya, pusat NADI turut menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan asas kepada pesakit yang memerlukan pemantauan secara berkala, sekali gus mengurangkan keperluan mereka untuk hadir ke hospital bagi pemeriksaan rutin seperti pemantauan tekanan darah.
“Sekiranya bacaan kesihatan pesakit didapati tidak normal, pihak NADI akan segera menghubungkan mereka dengan hospital berkaitan untuk penilaian lanjut. Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kos perjalanan, malah membantu mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu mencerminkan komitmen MCMC dalam mentransformasikan NADI daripada sekadar hab kesalinghubungan digital kepada pusat komuniti yang menyediakan akses lebih meluas kepada pelbagai perkhidmatan penting kerajaan dan awam.
Mengenai pembangunan NADI pada masa depan, Dr Mohd Arif berkata MCMC tidak bercadang menambah bilangan pusat fizikal memandangkan dasar satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), satu NADI telah memastikan setiap kawasan DUN di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya sebuah pusat.
Sebaliknya, beliau berkata tumpuan kini diberikan kepada pengembangan perkhidmatan maya NADI 2.0 bagi membolehkan masyarakat yang tinggal lebih jauh daripada pusat sedia ada turut menikmati kemudahan tersebut.
Menurutnya, langkah itu dibuat berdasarkan kajian Merdeka Centre yang menunjukkan kebanyakan pengguna tinggal dalam lingkungan satu hingga dua kilometer dari pusat NADI.
Dalam pada itu, MCMC turut mengkaji kemungkinan memperluaskan rangkaian NADI ke lokasi yang belum mempunyai kemudahan berkenaan, termasuk kem tentera dan berek polis, berikutan terdapat permintaan terhadap perkhidmatan digital serta program pembangunan komuniti di kawasan terbabit.
Mengulas mengenai pengiktirafan antarabangsa yang diterima NADI, beliau berkata kejayaan meraih Anugerah World Summit on the Information Society (WSIS) di Geneva tahun lalu, selain diiktiraf sebagai Pusat Transformasi Digital ITU ke-16 pada tahun ini, membuka lebih banyak peluang kerjasama di peringkat global.
Beliau turut memaklumkan bahawa NADI merancang memperkenalkan lebih banyak kursus mikro-kredensial dengan kerjasama institusi dan organisasi antarabangsa seperti Cisco dan Hewlett Packard (HP), sekali gus membolehkan peserta, khususnya belia luar bandar, memperoleh pensijilan yang diiktiraf industri bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.
– BERNAMA