KOTA KINABALU: Melatih lebih ramai anak Sabah dalam bidang perubatan dilihat antara penyelesaian jangka panjang terbaik bagi menangani masalah kekurangan pegawai perubatan di negeri itu, khususnya di kawasan pedalaman.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah (SMSU), Ajulahin Japin berkata, anak tempatan secara umumnya lebih bersedia untuk berkhidmat di negeri sendiri, sama ada di kawasan pedalaman, pinggir bandar mahupun bandar.
Beliau yang juga Presiden Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU) berkata, bagaimanapun jumlah graduan perubatan dalam kalangan anak Sabah ketika ini masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan tenaga kerja sedia ada.
“Kalau kita lihat Sabah dan Sarawak, anak tempatan sebenarnya lebih bersedia untuk bertugas di negeri sendiri berbanding petugas dari Semenanjung.
“Bagi sesetengah anak muda dari Semenanjung, apabila disebut Sabah dan Sarawak, mungkin masih wujud gambaran bahawa penempatan di sini melibatkan suasana kampung atau kawasan pedalaman.
“Persepsi dari segi keselesaan itu mungkin antara faktor yang menyebabkan mereka kurang berminat untuk datang bertugas di Sabah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut Ajulahin, kekurangan graduan perubatan anak tempatan menyebabkan Sabah masih bergantung kepada pegawai perubatan dari Semenanjung bagi mengisi kekosongan di hospital dan klinik kesihatan di negeri itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memberi perhatian serius kepada usaha memperbanyakkan pengambilan serta latihan anak Sabah dalam bidang perubatan sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dari luar negeri pada masa hadapan.
Beliau berkata, satu tinjauan yang dijalankan MAPSU turut mendapati sebahagian doktor dari Semenanjung kurang berminat menerima penempatan di Sabah, terutama di kawasan pedalaman.
Katanya, antara faktor yang dikenal pasti ialah isu Bayaran Imbuhan Wilayah (BIW) serta elaun berkaitan penempatan di kawasan pedalaman yang kini dibekukan.
Ajulahin berkata, BIW sebelum ini dibayar pada kadar antara 17 hingga 25 peratus daripada gaji pokok, manakala elaun pedalaman pula sekitar 10 peratus daripada gaji pokok.
Menurutnya, isu insentif berkenaan antara perkara yang sering dibangkitkan kesatuan dalam perbincangan berkaitan usaha menarik dan mengekalkan pegawai perubatan untuk berkhidmat di Sabah.
“Jadi, itu yang kita sarankan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) agar meneliti dan membuat kajian mengenai kekurangan pegawai perubatan di Sabah dan juga menilai semula insentif yang sesuai bagi menarik minat pegawai perubatan dari Semenanjung bertugas di negeri Sabah,” katanya.
Selain memperbanyakkan doktor dalam kalangan anak tempatan dan mengkaji semula insentif, Ajulahin turut mencadangkan supaya graduan perubatan dari Semenanjung diberikan pendedahan lebih awal terhadap suasana bekerja di Sabah.
Katanya, antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah memberi peluang kepada graduan berkenaan menjalani latihan siswazah atau housemanship di hospital di Sabah.
“Mungkin antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah memberi peluang kepada mereka menjalani housemanship di hospital di Sabah supaya mereka mendapat pendedahan awal mengenai suasana kerja dan kehidupan di negeri ini.
“Dengan pendedahan itu, mereka dapat mengenali Sabah dengan lebih dekat sebelum dilantik sebagai pegawai perubatan dan seterusnya mungkin lebih bersedia sekiranya ditempatkan untuk bertugas di negeri ini,” katanya.
MAPSU menghimpunkan 29 kesatuan sekerja di bawah KKM di seluruh negara.
Terdahulu, media melaporkan beberapa hospital di Sabah dan Sarawak berdepan kekurangan pegawai perubatan selepas didakwa tiada doktor baharu melapor diri bagi pengambilan jawatan tetap bulan ini.
Susulan itu, KKM memberikan tempoh sehingga 7 Oktober kepada pegawai perubatan lantikan tetap Fasa 2/2026 yang masih belum melapor diri supaya hadir di fasiliti penempatan masing-masing.
Menurut kementerian, sebanyak 4,255 pegawai perubatan ditawarkan penempatan menerusi sistem ePlacement bagi lantikan Fasa 2/2026 yang berkuat kuasa mulai 28 September lalu.
Isu berkenaan sekali lagi memperlihatkan keperluan untuk mencari pendekatan jangka panjang bagi memastikan Sabah mempunyai tenaga perubatan yang mencukupi, khususnya bagi memenuhi keperluan hospital dan fasiliti kesihatan di kawasan pedalaman.