TAWAU – Polis Daerah Tawau mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian seorang pelajar lelaki yang dipercayai dipukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan pelajar lain di Jalan Sri Delima, Merotai Besar pada Jumaat, 3 Julai lalu.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt. Wilynton Enchana Watt, laporan berhubung kejadian itu diterima oleh Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Tawau pada jam 8.09 malam, sebelum siasatan segera dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa bersama tiga rakannya sedang berjalan melalui jalan pintas menuju ke Masjid Merotai Besar bagi menunaikan solat Jumaat.
Semasa dalam perjalanan, mangsa didatangi sekumpulan pelajar sekolah yang dikenalinya. Kumpulan tersebut dikatakan bertanyakan mengenai keberadaan dua individu sebelum salah seorang daripada mereka bertindak memukul mangsa. Tindakan itu kemudiannya diikuti beberapa pelajar lain yang turut menyerang mangsa secara beramai-ramai.
Dalam kejadian sama, tiga rakan mangsa turut menjadi mangsa pukulan oleh kumpulan berkenaan.
Akibat insiden tersebut, mangsa mengalami kecederaan dan kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada serta rusuk sebelum tampil membuat laporan polis. Mangsa kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan merusuh. Polis sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua individu yang terlibat.
Polis Daerah Tawau turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang bentuk keganasan atau perbuatan samseng, khususnya yang melibatkan pelajar sekolah.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Sehubungan itu, individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sjn Chong Fung Mee di talian 013-8840113 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi membantu melengkapkan siasatan.