Pelaksanaan mekanisme BUDI95 dan BUDI Diesel di daerah Tawau didapati berjalan lancar hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau di beberapa lokasi, termasuk stesen minyak di sekitar daerah itu.
Hasil pemeriksaan mendapati pengguna tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang pelaksanaan mekanisme BUDI95 dan BUDI Diesel, sekali gus menunjukkan pelaksanaan inisiatif berkenaan berjalan seperti yang dirancang.
Menurut kenyataan KPDN Sabah, pegawai penguat kuasa turut mendapatkan maklum balas daripada pengguna bagi menilai keberkesanan pelaksanaan mekanisme tersebut. Pada masa sama, penerangan turut diberikan kepada pengguna yang masih kurang jelas mengenai tatacara pelaksanaannya.
Selain menjalankan pemeriksaan di stesen minyak, KPDN Tawau turut memeriksa sebanyak 45 premis perniagaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua premis yang diperiksa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
KPDN turut memaklumkan bahawa bekalan barangan kawalan berada pada tahap mencukupi, mudah diperoleh oleh pengguna dan dijual mengikut harga yang telah diwartakan.
Bagi memastikan mekanisme subsidi terus dilaksanakan dengan berkesan, KPDN Tawau menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pelaksanaan BUDI Diesel.
Langkah itu bertujuan memastikan bekalan bahan api bersubsidi disalurkan kepada golongan sasar mengikut peraturan yang sedang berkuat kuasa, selain mengelakkan sebarang penyalahgunaan atau ketidakpatuhan terhadap mekanisme yang ditetapkan.
Dalam masa sama, orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan isu perdagangan dan kepenggunaan disaran menyalurkannya kepada KPDN menerusi saluran rasmi yang disediakan supaya tindakan lanjut dapat diambil dengan segera.
Usaha pemantauan berterusan oleh KPDN diharap dapat memastikan pelaksanaan BUDI95 dan BUDI Diesel terus berjalan lancar, di samping menjamin kepentingan pengguna serta memastikan bekalan bahan api bersubsidi dan barangan kawalan kekal teratur di pasaran.
Sumber: Sabah Media