Pemasangan Pam, Komponen Elektrikal & Pembersihan Tangki Giat Dilaksana, LRA Apas Balung Fasa 1 Kini 80%

Pemasangan Pam, Komponen Elektrikal & Pembersihan Tangki Giat Dilaksana, LRA Apas Balung Fasa 1 Kini 80%

TAWAU – Usaha memulihkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Apas Balung 1 dan 2 menunjukkan perkembangan positif apabila persediaan bagi pengoperasian semula Fasa 1 kini mencapai kira-kira 80 peratus.

Menurut Facebook Jabatan Air Bahagian Tawau, kerja-kerja pemulihan terus giat dilaksanakan oleh pasukan teknikal Jabatan Air Sabah, termasuk pemasangan pam, pemasangan komponen elektrikal serta kerja-kerja pembersihan tangki.

LRA Apas Balung Fasa 1 dijangka dapat dioperasikan semula dalam masa terdekat, tertakluk kepada penyempurnaan keseluruhan persediaan, pemeriksaan teknikal serta pengesahan bahawa loji berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi.

Pengoperasian semula Fasa 1 dijangka dapat membantu mengurangkan impak gangguan bekalan air yang sedang dihadapi pengguna di kawasan terjejas.

Dalam pada itu, kerja-kerja pemulihan bagi LRA Apas Balung Fasa 2 akan terus dipergiatkan sehingga siap sepenuhnya sebelum loji berkenaan dapat beroperasi pada kapasiti penuh.

Jabatan Air Sabah menegaskan komitmennya untuk mempercepatkan setiap fasa pemulihan bagi mengembalikan bekalan air kepada pengguna secepat mungkin, dengan aspek keselamatan dan kebolehpercayaan sistem kekal menjadi keutamaan.

Pengguna yang terjejas turut diminta terus bersabar dan memberikan kerjasama sepanjang tempoh pemulihan dijalankan.

Perkembangan ini pastinya memberi sedikit kelegaan kepada penduduk yang terkesan akibat gangguan bekalan air, khususnya mereka yang telah lama menantikan pemulihan operasi loji berkenaan.

Sumber: Facebook Jabatan Air Bahagian Tawau