Nizam: FKAT Wajar Terus Berkembang, Angkat Keunikan Budaya Tawau ke Peringkat Antarabangsa

Nizam: FKAT Wajar Terus Berkembang, Angkat Keunikan Budaya Tawau ke Peringkat Antarabangsa

TAWAU – Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) bukan sekadar platform mempromosikan kepelbagaian budaya, malah mampu menjadi medium terbaik untuk memupuk gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan masyarakat serta menjauhkan golongan muda daripada gejala penyalahgunaan dadah.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata penganjuran FKAT setiap tahun wajar terus diperkasakan dengan pelbagai aktiviti menarik yang mampu menarik penyertaan masyarakat dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri salah satu pengisian FKAT 2026 iaitu program memancing yang turut mendapat kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Daerah Tawau (PEMADAM).

Menurut beliau, festival yang kini memasuki edisi ke-11 itu merupakan acara yang sentiasa dinanti-nantikan oleh masyarakat Tawau dan pengunjung dari pelbagai daerah.

“Saya mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur FKAT 2026, khususnya Presiden Majlis Perbandaran Tawau serta seluruh pasukan yang bertanggungjawab memastikan festival ini berjalan dengan lancar dan teratur.

“Program memancing ini merupakan salah satu daripada pelbagai pengisian yang disusun sempena FKAT. Selain itu terdapat juga pertandingan dron, pertandingan wau dan pelbagai aktiviti lain yang pastinya menambahkan kemeriahan festival ini,” katanya.

Beliau berharap pengisian program pada masa akan datang dapat diperkemaskan lagi bagi menarik penyertaan yang lebih besar, bukan sahaja dari Tawau dan Sabah, malah dari Semenanjung Malaysia serta negara luar.

Katanya, usaha itu mampu memperkenalkan Tawau sebagai destinasi yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan etnik, di samping menonjolkan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang hidup saling menghormati.

“Ini adalah identiti yang perlu kita pertahankan demi pembangunan dan kemajuan negeri, khususnya Tawau,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam turut merakamkan penghargaan kepada PEMADAM atas komitmen berterusan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata penganjuran aktiviti sihat seperti program memancing merupakan pendekatan positif yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam melindungi generasi muda daripada gejala dadah.

Menurutnya, kedudukan Tawau yang berhampiran sempadan antarabangsa menjadikan daerah itu berdepan cabaran tertentu, termasuk risiko penyalahgunaan dadah.

“Oleh kerana Tawau terletak berhampiran sempadan dengan Filipina dan Indonesia, kita tidak dapat lari daripada pelbagai pengaruh luar. Jika pengaruh itu membawa perkara yang baik, kita alu-alukan. Namun kita perlu berwaspada terhadap unsur negatif yang boleh merosakkan masa depan anak-anak muda, khususnya penyalahgunaan dadah.

“Sebab itu saya melihat program seperti ini sangat penting kerana ia bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah menjadi platform untuk mengajak orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dan bersama-sama memerangi gejala dadah,” katanya.