Lima Hari Menunggu Air, Lori Bekalan Belum Mampu Tampung Penduduk Taman Sri Balung

Lima Hari Menunggu Air, Lori Bekalan Belum Mampu Tampung Penduduk Taman Sri Balung

TAWAU – Penduduk di Taman Sri Balung berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air selepas kawasan berkenaan dilaporkan mengalami gangguan bekalan air selama lima hari susulan kejadian banjir yang turut menjejaskan loji air.

Menerusi perkongsian di Facebook oleh Princess Qaleesya Echa, keadaan penduduk semakin mencabar apabila bekalan air yang dihantar menggunakan lori Jabatan Air masih belum dapat menampung keperluan keseluruhan penduduk di taman berkenaan.

Menurut perkongsian itu, hanya sebahagian blok menerima bekalan air, manakala penduduk di blok lain masih terpaksa menunggu.

Situasi tersebut turut memberi kesan kepada golongan yang memerlukan perhatian khusus, termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu mengandung serta keluarga yang mempunyai anak kecil.

Lebih menyedihkan, penduduk terpaksa turun dari tingkat empat untuk mendapatkan bekalan air apabila lori tiba di kawasan berkenaan.

“Bayangkan dari tingkat empat turun demi mengambil air. Ada kesian orang tua, orang OKU, ibu mengandung, anak kecil,” demikian menurut perkongsian tersebut.

Penduduk berharap masalah bekalan air berkenaan dapat diselesaikan dengan segera memandangkan air merupakan keperluan asas yang amat diperlukan untuk kegunaan harian.

Dalam pada itu, orang ramai yang berkemampuan turut diseru untuk membantu penduduk terjejas, khususnya dalam menyediakan bekalan air bersih sementara menunggu keadaan kembali pulih.

Perkongsian tersebut turut mengajak masyarakat membantu menyebarkan maklumat berkenaan supaya keadaan penduduk di Taman Sri Balung mendapat perhatian pihak berkaitan dan individu yang sudi menghulurkan bantuan.

“Kita permudahkan urusan orang lain, insya-Allah Allah permudahkan urusan kita kelak.”

— Sumber: Facebook Princess Qaleesya Echa