KOTA KINABALU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima 15 unit Light Operation Vehicle (LOV) berkeupayaan pacuan empat roda untuk diagihkan kepada balai bomba dan penyelamat di seluruh negeri.
Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Lizalman Abu berkata, aset berkenaan direka bagi menyokong pelbagai keperluan operasi termasuk kecemasan, rondaan, logistik dan tugasan sokongan di kawasan bandar serta luar bandar.
Menurutnya, LOV turut penting dalam menghadapi situasi bencana dan operasi di kawasan yang sukar diakses, selaras dengan keadaan geografi Sabah yang luas serta mempunyai pelbagai bentuk muka bumi.
“Penerimaan aset ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan, mobiliti dan keupayaan respons JBPM, khususnya dalam menghadapi cabaran operasi di Sabah yang mempunyai kawasan geografi yang luas dan pelbagai bentuk muka bumi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penambahan 15 unit LOV itu akan memperkukuh keupayaan pergerakan anggota, terutama ketika melaksanakan operasi di kawasan sukar diakses serta berdepan bencana.
Lizalman turut menyifatkan penerimaan aset itu sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Malaysia dalam memenuhi keperluan aset JBPM bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada pada tahap optimum.
“JBPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas keprihatinan serta kelulusan keperluan LOV ini demi memperkasakan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi JBPM, khususnya di Sabah,” katanya.
Majlis penyerahan dan agihan 15 unit LOV berkenaan berlangsung di Ibu Pejabat JBPM Sabah hari ini.
Sumber : Sabah Media