Rina Jainal: Pelajar Pantai Timur Sabah Tunjukkan Potensi Besar Dalam Akademik dan Sukan

Rina Jainal: Pelajar Pantai Timur Sabah Tunjukkan Potensi Besar Dalam Akademik dan Sukan

TAWAU – Pelajar di kawasan Pantai Timur Sabah menunjukkan potensi yang membanggakan apabila 21 sekolah dari beberapa daerah termasuk Tawau, Sandakan, Kinabatangan, Semporna, Lahad Datu dan Kunak mengambil bahagian dalam Karnival Sukan dan Kebudayaan Tingkatan 6 (SUKTEM) 8.0 Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Kolej Tingkatan 6 Tawau.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, YB Datuk Rina Haji Jainal, berkata beliau gembira melihat pencapaian pelajar Tawau yang bukan sahaja menyerlah dalam bidang akademik, malah turut aktif dalam bidang sukan.

Datuk Rina menyampaikan hadiah kepada para pemenang

Menurut beliau, pencapaian pelajar turut dapat dilihat menerusi penglibatan mereka dalam sukan hoki serta pelbagai aktiviti lain yang menunjukkan potensi pelajar di Pantai Timur Sabah.

“Saya sangat gembira apabila melihat pelbagai pencapaian yang telah diumumkan oleh pihak PPD Tawau. Pelajar Tawau bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi baru-baru ini juga mewakili sekolah dalam sukan hoki.

“Banyak lagi perkara yang menunjukkan potensi pelajar Tawau dan pelajar di Pantai Timur untuk memastikan pencapaian mereka dalam bidang yang membanggakan dan memuaskan,” katanya.

Datuk Rina ketika ditemuramah media

Rina berkata, perkembangan tersebut menunjukkan pelajar di kawasan Pantai Timur Sabah mempunyai potensi yang bukan hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, malah turut merangkumi bidang sukan dan aktiviti sekolah.

Beliau turut berharap pencapaian pelajar dalam pelbagai bidang dapat terus berkembang dan memberi peluang kepada mereka untuk diketengahkan dalam kalangan atlet kebangsaan pada masa akan datang.

Penganjuran SUKTEM 8.0 Peringkat Negeri Sabah yang menghimpunkan sekolah dari beberapa daerah Pantai Timur turut menjadi platform kepada pelajar untuk mengambil bahagian dalam aktiviti sukan dan kebudayaan, selain memperlihatkan pencapaian serta potensi generasi muda di kawasan berkenaan.